MAJLIS BELIA MALAYSIA

KBS cadang bulan Mei sebagai Hari Belia

Monday, 31 May 2010

KUALA LUMPUR, 28 Mei – Kementerian Belia dan Sukan akan mengemukakan kepada Kabinet cadangan bagi menjadikan bulan Mei setiap tahun sebagai bulan untuk belia.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, cadangan itu dipersetujui, sambutan bulan belia akan bermula pada 15 Mei sehingga pertengahan Jun, setiap tahun.

“Kementerian mahukan jadikan Hari Belia sebagai sambutan dalam skala yang besar dengan program yang lebih menarik serta kreatif.

“Saya akan usulkan perkara ini kepada Kabinet dalam masa terdekat kerana ia jelas memberi manfaat kepada golongan belia,” katanya dalam sidang akhbar selepas perasmian Karnival Youth 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Naib Presiden Kanan (Pemasaran) Celcom Axiata Berhad, Zalman Aefendy Zainal Abidin; Pengarah Eksekutif Youth Asia, Joel Neoh; Penganjur bersama Youth ’10, Datin Norjuma Habib Mohamed serta penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin.

Ditanya tentang sambutan Hari Belia yang biasa disambut setiap 15 Mei, Ahmad Shabery berkata, kementeriannya tidak bercadang untuk mengubah tarikh sambutan.

“Sebaliknya kami mahu memanjangkan tempoh sambutan selepas melihat program itu mendapat sambutan belia sehingga mencecah 200,00 orang belia menyertainya,” jelasnya.

Tambah Ahmad Shabery, anugerah Hari Belia juga akan diubah konsep bagi menghargai sumbangan golongan belia pada negara.

“Kita akan kaji kembali konsep anugerah belia yang mana kita bukan sahaja melihat penganugerahan di kalangan aktivis dan persatuan-persatuan belia tetapi juga kepada mereka yang menyumbang dalam usia yang muda,” ujarnya.

Sementara itu, mengenai Youth ’10 yang akan berlangsung sehingga esok di PWTC, Ahmad Shabery menganggap ia adalah salah satu cara terbaik meningkatkan taraf belia negara.

Malah beliau mencadangkan agar pihak penaja menjadikan karnival itu sebagai salah satu acara sambutan Hari Belia.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »