MAJLIS BELIA MALAYSIA

Karnival Sukan Belia Negaraku Dapat Sambutan Hangat

Rembau, 12 Mac – Lebih 3,000 orang khususnya golongan belia dari kawasan sekitar membanjiri Dataran Rembau, Negeri Sembilan sempena Karnival Sukan Belia Negaraku.

Karnival sehari anjuran Majlis Belia Malaysia (MBM), Kementerian Belia dan Sukan, Kerajaan Negeri Sembilan dengan kerjasama Majlis Daerah Rembau, Majlis Belia Negeri Sembilan dan Majlis Belia Daerah Rembau itu turut menyaksikan penyertaan anak-anak muda dari peringkat sekolah rendah.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Sukan dan Hidup Sihat MBM Mohd Husni Abdullah, berkata “karnival ini membawa idea perpaduan menerusi sukan dalam merealisasikan Malaysia sebagai ‘negara bersukan’. Program sukan santai ini merangkumi aktiviti kecergasan, pertandingan sukan, sukan permotoran, pembangunan komuniti sukan dan kempen kesedaran hidup sihat secara sinergi bersama komuniti”.

Antara acara yang dipertandingkan ialah futsal, liga penalti, bola tampar, sepak takraw, petanque, tarik tali, bola tampar lelaki dan perempuan serta e-games (Legend Mobile). Selain itu, turut berlangsung aktiviti senaman kecergasan aerobicthon, aktiviti sukan permotoran dan persembahan artis undangan Waris.

Perasmian karnival disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Rembau, YB. Brig Jen Khairy Jamaluddin.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada MBM kerana memilih Rembau sebagai lokasi pembuka tirai karnival ini dan dengan sambutan memberangsangkan, saya yakin ia dapat dipromosikan ke peringkat lebih tinggi di samping membawa mesej bersukan kepada semua peringkat umur,” katanya selepas merasmikan karnival berkenaan.

Pada majlis tersebut, Khairy turut menyerahkan simbolik sumbangan barangan sukan kepada badan gabungan MBM dan melepaskan peserta konvoi Kembara Belia Negaraku.

Turut hadir, Presiden MBM, Mua’amar Ghadafi Jamal, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali, Exco Modal Insan, Belia dan Sukan Negeri Sembilan, YB Datuk Zaifulbahri bin Idris, Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk Dr. Awaludin Said, Pengarah JBSN, Azura Sarbin serta barisan kepimpinan MBM, majlis belia negeri dan daerah.

 

                                  

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »