Kuala Lumpur, 14 Februari 2012 – Pelbagai acara menarik menanti pengunjung di Karnival Belia Negeri Sembilan yang akan dianjurkan oleh Majlis Belia Negeri Sembilan (MBNS) pada 17-19 Februari 2012. Antara segmen-segmen yang disediakan antaranya segmen inovasi dan kreativiti belia, pameran dan gerai jualan IKS, sprint test, futsal, autoshow, pertandingan sukan, persembahan artis, ceramah motivasi serta acara-acara lain pasti akan dapat memenuhi pencarian para belia samada dari Negeri Sembilan mahupun dari luar. Pada karnival ini juga, BN Youth Job Fair 2012 turut diadakan bagi memberi peluang kepada para belia mencari pekerjaan sebagaimana yang disampaikan oleh Presiden Majlis Belia Negeri Sembilan (MBNS) yang baru, Puan Salwati bte Hj Abdullah ketika mengadakan kunjungan hormatnya MBNS ke MBM pada jam 4 petang tadi. Rombongan MBNS yang terdiri dari exco-exco yang baru serta beberapa sukarelawan MBNS turut diperkenalkan pada majlis tersebut bagi mengeratkan lagi hubungan antara MBNS dan MBM selaku badan induk pergerakan belia di Malaysia. Presiden MBM, Sdr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee bersama beberapa exco MBM menyambut rombongan ini dengan penuh rasa gembira kerana dapat berkenalan dengan kepimpinan baru MBNS.
Untuk maklumat lanjut mengenai karnival ini, sila layari www.mbnns.org.my