MAJLIS BELIA MALAYSIA

Kalobrasi UMP dan MBM Lahirkan Generasi Belia Berpengetahuan

Kuantan, 28 Februari 2012 – Universiti Malaysia Pahang (UMP) menjalinkan kerjasama strategik dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam menambah nilai untuk melahirkan generasi belia berwibawa yang lebih berdaya saing.

Majlis menandatangai memorandum persefahaman (MoU) disempurnakan Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) , Profesor Dato’ Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Presiden Persatuan Wanita UMP (Matahari) , Prof. Madya Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim mewakili UMP. Manakala, pihak MBM diwakili Presidennya, Mohamed Maliki Mohd. Rapiee dan EXCO MBM Ahmad Daniar Ismail.

Menurut Dato’ Daing, skop kerjasama ini yang dirundingkan ini meliputi keempat-empat Bidang Keberhasilan Utama (KRA) di bawah Pelan Strategik tersebut iaitu Peningkatan Kualiti Akademik, Kelestarian Kewangan, Pembangunan Sosio-ekonomi dan Penjenamaan Untuk Penjajaran Strategik.

Dalam mengupayakan kemajuan masyarakat, UMP dan MBM mengenalpasti tiga  teras utama melibatkan iaitu Akademik, Penyelidikan dan Perundingan serta  Pembangunan Modal Insan.

“Inisiatif yang digerakkan ini akan melibatkan program Pembangunan Belia Melalui Latihan, Kepimpinan dan Keusahawanan, Serantau dan Antarabangsa serta Penyelidikan, Pembangunan dan Reka Cipta,” kata beliau semasa menyampaikan ucapan sempena Majlis Menandatangani MoU di Dewan Bankuet UMP Gambang hari ini.

Kata beliau, masyarakat terutamanya sekitar Pekan terutamanya berdekatan kampus UMP bakal menerima manfaat daripada inisiatif ini yang rata-ratanya mempunyai latar sosio-ekonomi dan pendidikan yang amat sederhana.

Dato Daing berkata, UMP amat berbesar hati untuk menerima MBM sebagai rakan kongsi dalam konteks kerjasama ini berdasarkan reputasi dan pengiktirafan yang dimiliki oleh organisasi terbesar yang mewakili golongan belia di negara ini. Katanya, hasil kerjasama ini akan melibatkan komitmen sebuah badan NGO, Persatuan Matahari dan Pusat Pengajian Berterusan & Pembangunan Profesional (CENFED) dalam menjayakan program usahasama dengan MBM ini.

Sementara iti, menurut Mohamed Maliki, kerjasama keduanya ini akan melibatkan pembangunan belia terutamanya di Kuala Pahang. MBM akan mengenalpasti golongan belia yang boleh diketengahkan dan UMP sebagai universiti yang memiliki kepakaran teknikal akan membantu dalam menyediakan jurulatih dan tenaga pengajar.

Beliau berkata, pihak Kerajaan telah memperuntukkan 200 juta dalam pembangunan belia dengan memfokuskan tiga bidang utama iaitu kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan. Justeru, banyak program yang boleh dijalankan untuk dimanfaatkan bersama masyarakat dan kelompok belia yang didefinisikan berumur di antara 18 hingga 40 tahun.

Selain itu, MBM juga giat menjalankan kutipan kilat dengan membantu mangsa keganasan di Palestin , bencana banjir, rumah kebajikan dan anak yatim di seluruh negara.

Hadir sama dalam majlis MoU, Penolong Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Profesor Dr. Yuserrie Zainuddin, Pendaftar, Haji Mustafa Ibrahim, Bendahari Zainuddin Othman, Ketua Pustakawan Haji Ruslan Che Pee dan Pemangku Pengarah CENFED, Haji Jamil Basri.

Bersempena dengan itu juga diadakan Majlis Dialog Bersama MBM bertemakan “Pemerkasaan Belia dan Kesukarelawanan Pemangkin Jaringan Kerjasama”. Ahli panel terdiri daripada Presiden MBM dan Tokoh Belia Negara 2011 iaitu Mohd. Rizan Hassan serta pensyarah Fakulti Teknologi, Mohamad Rozi Hassan sebagai moderator.

Dialog berjaya mendapat sambutan mahasiswa apabila lebih 400 orang hadir untuk berkongsi pengalaman dan memahami semangat kesukarelawanan selain berpeluang menceburkan diri dalam aktiviti belia di Malaysia dan di peringkat antarabangsa.


Disediakan Oleh Unit Perhubungan Awam & Media Pejabat Naib Canselor

Posted By : SITI SARAH BINTI MOHAMAD RAJIMI Date Posted : 29-02-2012, 12:29:35

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »