Kalam Karyawan Siri ke-2
Bersama Ybhg. Profesor Emeritus Dr. Muhammad Bin Haji Salleh
(Sasterawan Negara ke-6, 1991)
Oleh :
JUFITRI BIN JOHA
Naib Presiden
Majlis Belia Malaysia (MBM)
&
HANIEF ERZA BIN ERI ASWANDI
AJK Biro Penyelidikan & Pendidikan
Majlis Belia Malaysia (MBM)
9 November 2017 hari Khamis yang lalu, Majlis Belia Malaysia (MBM) sekali lagi memenuhi jemputan dalam menghadiri program ilmuan yang dianjurkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) iaitu Kalam Karyawan siri ke-2. Umum mengetahui, program ini adalah sebuah program khas yang dianjurkan oleh pihak PNM untuk membawa dan menghadirkan tokoh figura hebat yang pernah menghasilkan karya-karya agung dalam penulisan dunia kesusasteraan Melayu. Objektif program ini adalah untuk menghadirkan rasa cinta kepada anak-anak muda kepada penulis karya dan dalam pada masa yang sama menggahkan koleksi penulisan hasil yang telah diterbitkan.
Pada program Kalam Karyawan siri ke-2 ini, Perpustakaan Negara Malaysia dengan berbesar hatinya telah menghadirkan seorang tokoh yang bernama Profesor Emeritus Dr. Muhammad Bin Haji Salleh, seorang anak jati kelahiran Taiping, Perak yang telah dikurniakan anugerah kehormat Sasterawan Negara ke-6 pada tahun 1991. Mendengar sahaja gelaran Professor Emeritus di sudut nama penulis ini, sudah jelas bahawa beliau bukanlah calang-calang insan yang sudi hadir untuk berkongsi saat-saat detik kehidupan beliau dalam menceritakan kegemilangan yang telah dikecapi.
Di awal program, Profesor Emeritus Dr Muhammad membuka langkah kanan dengan menceritakan akan latar belakang beliau sewaktu beliau muda remaja dan di mana beliau mendapat pendidikan dari tahap sekolah rendah, sekolah menengah dan institut pengajian tinggi beliau mencari ilmu. Pengkisahan susur galur kehidupan ketika usia muda oleh beliau amat penting untuk dihayati oleh generasi muda sekarang bagi mencontohi formula kejayaannya.
Dilahirkan pada 26 Mac 1942 di Taiping Perak, beliau mendapat pendidikan awal pada tahun 1963 di High School Bukit Mertajam dan Maktab Melayu Kuala Kangsar. Atas faktor latar belakang persekolahan beliau yang lebih ke arah penggunaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, Profesor Emeritus Dr Muhammad berkebolehan dalam menghasilkan penulisan dalam dua bahasa serentak iaitu Melayu dan Inggeris. Pada ketika itu, beliau amat mengagumi penulisan puisi-puisi Wystan Huge Auden dan Thomas Sterns Eliot. Kemudian, beliau melanjutkan pelajaran ke Malayan Teachers College, Brinsford Lodge, England. Pengembaraan beliau dalam mencari ilmu tidak terhenti di situ, beliau kemudiannya berhijrah ke Universiti Malaya, Singapura dengan memperoleh Ijazah Sarjana Sastera pada tahun 1970 dan ketika tahun 1977 beliau dikurniakan PHD dari Universiti Michigan, Amerika Syarikat.
Kerjaya awal Profesor Emeritus Dr Muhammad adalah beliau mula menjadi tenaga pendidik di Trade School Butterworth untuk beberapa tahun sebelum beliau dilamar untuk menjadi pensyarah di beberapa buah universiti tempatan seperti UM, UKM, USM. Kepakaran beliau di dalam bidang coretan penulisan sastera ini juga turut menarik minat pihak universiti luar di mana beliau telah ditawarkan untuk menjadi felo kepada beberapa buah universiti yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Jepun dan Belanda. Bukan itu sahaja, kemahsyuran nama Profesor Emeritus Dr Muhammad juga turut diangkat di North Carolina State University di mana di situ beliau berhidmat sebagai Profesor Tamu di bawah rancangan Fulbright-Hays.
Antara koleksi penulisan Professor Emeritus Dr Muhammad yang menjadi pujaan ramai adalah seperti ; Himpunan Sajak (Antologi Bersama, 1969) Sajak-sajak Pendatang (1973), Perjalanan Si Tenggang II (1975), Ini Juga Duniaku (1977), Sajak-Sajak Dari Sejarah Melayu (1981) dan pelbagai lagi. Karya-karya beliau juga turut diterjemah dalam pelbagai bahasa seperti Inggeris, Korea, Jepun, Belanda, Portugal. Hasil penulisan beliau yang begitu puitis inilah yang telah mengangkat beliau untuk menerima anugerah “Hadiah Sastera Asean” di Jakarta dan bumi Malaysia mengangkat beliau dengan menganugerahkan Sasterawan Negara ke-6 pada tahun 1991.
Kekuatan tokoh ini bukan hanya pada penulisan sastera, tapi juga berkebolehan dalam menterjemah karya. Oleh sebab itulah, insan cendekiawan ini turut diangkat menjadi Presiden Persatuan Penterjemah Malaysia pada tahun 1978-1982. Kecekalan kegiatan kreatif dan ilmunya dalam kajian kesusasteraan, beliau pernah menjadi sidang editor jurnal Tenggara, anggota Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, dan anggota Panel Anugerah Sastera Negara.
Sumbangan beliau dalam bidang penulisan beliau tidak boleh disangkal lagi, sebutir permata anak Malaysia yang banyak menaikkan nama Malaysia dalam bidang penulisan kesusasteraan Melayu adalah sebuah anugerah yang harus dijaga untuk setiap genap lapisan masyarakat di Malaysia untuk sama-sama memartabatkan industri kesusasteraan Melayu. Di akhir progam, Profesor Emeritus Dr Muhammad berpesan kepada semua hadirin agar cintakan buku, belajarlah setiap bait-bait kata dalam penulisan buku tersebut dan jadikan ianya sebagai pedoman.
MBM ingin mengucapkan syabas atas usaha PNM dalam merakyatkan pemikiran dan karya sasterawan negara yang telah banyak menyumbang kepada pembinaan aspek kesusasteraan dan kebudayaan negara.