Kalam Karyawan Bersama Ybhg. Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan
(Sasterawan Negara ke-10)
Oleh:
JUFITRI JOHA
Naib Presiden
Majlis Belia Malaysia (MBM)
&
HANIEF ERZA
AJK
Biro Pendidikan & Penyelidikan
Majlis Belia Malaysia (MBM)
Pada 29 Ogos 2017 (Selasa) yang lepas, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah menganjurkan satu progam Kalam Karyawan “Menelusuri Karya Sasterawan Negara” di Auditorium Perpustakaan Negara Malaysia. Majlis Belia Malaysia (MBM) hadir bagi memenuhi undangan rakan strategik yang amat penting ini di samping yang paling utama mendengar butiran mutiara bicara Sasterawan Negara ke-10 ini. Inilah peluang kesekalian kalinya bagi mendengar idea-idea Sasterawan Negara dibumikan di khalayak pendengaran awam.
Matlamat utama penganjuran program ini adalah untuk mengenali dengan lebih rapat lagi titik perjalanan seorang figura hebat yang berkarya menerusi penulisan sastera seperti cerpen, sajak, dan novel iaitu Ybhg. Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan. Beliau adalah penerima anugerah Sasterawan Negara ke-10 yang telah diiktiraf oleh Kerajaan melalui penganugerahan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu iaitu YB Tan Sri Muhyiddin Bin Yassin di Putrajaya pada 11 Ogos 2009 selain menerima anugerah awal iaitu Anugerah Sastera Perdana (2002). Seawal program berlangsung, Ybhg. Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan memulakan sesi program dengan menceritakan akan latar belakang beliau sebelum menjadi karwayan sastera.
Mungkin ramai khususnya generasi muda belia tidak mengenali 13 sosok barisan Sasterawan Negara termasuk yang terkini iaitu yang ke-13 Datuk Dr. Zurinah Hassan atau nama penanya Haniruz. Mereka merupakan sekumpulan rakyat Malaysia yang besar jasanya khususnya dalam dunia kesusasteraan yang sering dianggap sepi oleh masyarakat disebabkan arus ledakan kemajuan teknologi. Namun kesempatan kali ini ialah berkenalan dan meneroka idea bersama Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan, Sasterawan Negara ke-10.
Beliau (Dato Dr. Mohd Anwar Ridhwan) yang dilahirkan pada 5 Ogos 1949 di Parit Satu Timur, Sungai Besar, Selangor Darul Ehsan adalah anak bongsu daripada enam adik beradik dan keluarga beliau pada ketika itu adalah daripada golongan petani sawah. Mendapat pendidikan seawal usia tujuh tahun di Sekolah Kebangsaan Sungai Besar (1956-1962), Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besar (1963-1967), Tingkatan Enam Sekolah Alam Shah (1968-1969), insan hebat ini kemudian melanjutkan pelajarannya di Universiti Malaya dan belajar di Jabatan Pengajian Melayu dalam program Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian). Di menara gading UM inilah beliau mula giat aktif dalam berpersatuan di mana pada ketika itu beliau adalah pelopor dan pengasas kepada persatuan Ikatan Sastera Universiti Malaya (ISUM).
Ketika di Institut Pengajian Tinggi, beliau sudah mula bergiat aktif dalam bidang penulisan. Pengalaman awal beliau yang merencana dan mengasuh ruangan kebudayaan akhbar kampus Mahasiswa Negara dan acapkali menghantar penulisan sastera di ruangan akhbar Utusan Melayu pada ketika zaman kuliah telah sedikit sebanyak membantu memekarkan lagi minat beliau untuk terus berkarya dan menyampaikan mesej dan ajaran menerusi penulisan sastera. Kerjaya Anwar Ridhwan bermula di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1973 selepas lulus pengajian dengan jawatan awal beliau adalah Pegawai Sementara selama 3 bulan sebelum diserap secara tetap sebagai Pegawai Penyelidik Sastera. Di DBP, antara jawatan yang disandang adalah seperti anggota sidang editor majalah Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Dewan Budaya.
Antara karya awal penulisan yang mula menaikkan nama Anwar Ridhwan sebagai penulis adalah menerusi penulisan antologi cerpen Perjalanan Terakhir (1971), Dunia Adalah Sebuah Apartment (1973), Parasit (1976), Sesudah Perang (1976) Sasaran, Sahabat, Menjadi Tua (1983) di mana kesemua penulisan ini diiktiraf Hadiah Karya Sastera Malaysia. Kegemilangan Anwar Ridhwan seterusnya dimartabat menerusi novel pertama beliau iaitu Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979) mendapat pengiktirafan Yayasan Sabah-GAPENA II.
Novel ini menarik minat para pengkarya luar di mana ianya diterjemahkan kepada beberapa bahasa seperti bahasa Inggeris, Jepun dan Perancis. Bahkan, dari penceritaan novel, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman diadaptasikan kepada pementasan teater oleh seniman Johan Jaafar yang telah menjelajah serata negeri di Malaysia untuk tatapan penggemar drama teater.
Keghairahan beliau dalam bidang penulisan tidak hanya dengan meneroka apa yang ada di tanah air beliau sendiri, insan ini atas inisiatif sendiri mengembara ke serata dunia mengikuti kursus penerbitan buku dan kursus penerbit di New York University, United States pada tahun 1982. Kesinambungan pengembaraan serata dunia dalam bidang penulisan diteruskan dengan mengikuti International Writing Program di Iowa University, United States, tahun 1986, Pertemua Puisi Dunia di Yugoslavia tahun Ogos 1988, dan tetamu Persatuan Penulis Soviet pada September 1988. Ekoran daripada pengalaman luas beliau, di DBP antara jawatan tertinggi yang pernah disandangnya ialah seperti Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera dan pernah beberapa kali memangku jawatan Timbalan Ketua Pengarah DBP sebelum dinaikkan pangkat ke Pengarah Penerbitan DBP pada 2001.
Di penghujung bicarawaranya, Ybhg. Dato’ Dr Anwar Ridhwan memberi sedikit kritikan sinis realiti yang berlaku dalam dunia seni pada hari ini di mana beliau sedikit kecewa kerana karya-karya moden hari ini tidak kira sama ada novel, filem, teater hampir kesemuanya berlatarbelakangkan cinta, hantu, rempit, kehidupan sosial tidak sihat dan bermacam-macam lagi yang langsung tidak mencerminkan latar belakang budaya masyarakat Malaysia. Beliau berharap agar karya-karya berkualiti dapat dihasilkan dengan lebih banyak lagi oleh karyawan dan anak-anak muda generasi belia juga harus mempunyai minat cintakan ilmu.
Kegusaran Dato’ Dr. Mohd Anwar Ridhwan ini wajar diberikan perhatian serius oleh pimpinan belia dan belia amnya karya-karya yang tidak berkualiti apabila ditonton tidak akan mampu membentuk jatidiri, watak dan karakter bangsa Malaysia yang hebat. Generasi muda belia wajar digalak untuk turun menceburi dunia seni, sastera, budaya dan industri kreatif serta tampil dengan idea-idea dan produk-produk segar yang berkualiti.
Generasi muda belia disaran agar terus mendekati dan memetik kalam-kalam hikmah Sasterawan-Saterawan Negara ini termasuk membaca biografi dan karya-karya sastera mereka. Sasterawan Negara ke-6, Muhammad Haji Salleh menulis biografi yang menarik tentang Sasterawan Negara ke-3 Dato’ Usman Awang. Karya oleh Sasterawan Negara untuk Sasterawan Negara menarik untuk dibaca bagi menghayati hayat perjuangan seorang sasterawan dan bagi memahami kepentingan sastera dalam pembinaan peradaban bangsa. Terlalu banyak yang boleh dikongsi tentang ibrah hidup Dato’ Usman Awang atau nama penanya Tongkat Warrant ini namun yang paling membuatkan penulis terpana ialah genius lokal Sedili Johor ini ialah beliau hanya lulus darjah enam tapi belajar di universiti kehidupan dan dianugerahkan penghargaan tertinggi akademik – Ijazah Kehormat Persuratan, Universiti Malaya yang tidak pernah diimpikannya (Muhammad Salleh, 2017).
Selamat berkenalan dengan hulubalang pemulihara sastera Negara.