Tuesday, 20 July 2010
KULAIJAYA 18 Julai – Semua agensi kerajaan yang berurusan dengan belia disaran mengkaji pendekatan yang digunakan bagi menambat hati lebih ramai golongan itu menyertai aktiviti yang dijalankan.
Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, dalam melaksanakan sebarang program, rundingan dengan kumpulan sasar amat perlu supaya aktiviti yang dianjurkan menepati warna dan sentuhan jiwa golongan muda.
Beliau berkata, pemimpin belia disaran mengambil pendekatan menggunakan teknologi terkini yang penuh kreatif dan inovatif untuk berkomunikasi dengan golongan sasar.
“Pendekatan menggunakan media alternatif itu dilihat boleh menjadi wadah untuk menawan imaginasi golongan belia masa kini. Kita sewajarnya cuba memahami apakah cita rasa golongan muda.
“Kita perlu lebih memahami dan prihatin kepada cita rasa mereka. Turunlah padang dan dengarlah suara belia akar umbi serta tidak sekadar menunggu mereka untuk datang berjumpa dengan kita,” katanya semasa merasmikan sambutan Hari Belia peringkat negeri di sini, hari ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil.
Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohd. Ali Hassan; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Md. Jais Sarday dan Presiden Majlis Belia negeri, Anuar Manap.
Seramai 1,000 belia dari seluruh negeri ini berhimpun di Dewan Raya Putra, di sini bagi menjayakan sambutan Hari Belia yang bertemakan Belia Kreatif dan Inovasi Pemacu Ekonomi Negara.
Abdul Ghani berkata, hasrat untuk mewujudkan forum belia peringkat daerah yang dikenali sebagai Majlis Perundingan Belia Daerah dilihat mampu membuka ruang lebih luas kepada penglibatan belia dan masyarakat.
Ia akan mendorong mereka terlibat secara lebih aktif dalam proses perancangan dan pemantauan program pembangunan belia di negeri ini, katanya.
Sementara itu, Md. Jais berkata, pemisahan yang berlaku antara belia mengikut segmen kaum dan agama adalah sesuatu yang tidak sihat kerana ia akan melonggarkan ikatan perpaduan.
Menurutnya, kepelbagaian pandangan, pendapat dan latar belakang kaum seharusnya menjadi kekuatan kepada belia dan bukannya melihat ia dari sudut prejudis dan prasangka.
“Jangan pendamkan perasaan prejudis sesama kita walaupun kita berlainan agama dan bangsa. Semaikan semangat kebersamaan dan penerimaan sesama kita seadanya,” katanya.