PUTRAJAYA 16 Nov. – Jumlah keanggotaan Ahli Parlimen Belia adalah sebanyak 222 perwakilan, bersamaan dengan jumlah kerusi di Parlimen sekarang.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, jumlah itu adalah untuk memastikan Parlimen Belia yang menjadi wadah mewakili suara golongan tersebut akan mendapat perhatian kerajaan.
Beliau berkata, jumlah perwakilan kerusi itu juga akan mengalami pertambahan sekiranya berlaku perubahan kerusi di Parlimen sebenar.
“Anggota Ahli Parlimen Belia yang akan dilantik bakal menggunakan dewan Parlimen sementara sedia ada setelah ia dikosongkan nanti.
“Parlimen Belia itu nanti seterusnya akan dikendalikan bersama oleh Kementerian Belia dan Sukan bersama Majlis Belia Malaysia (MBM),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) Sidang II Penggal Ke-28 Tahun 2011-2012 di Hotel Marriot Putrajaya di sini, hari ini.
Penubuhan Parlimen Belia itu merupakan antara perkara yang dibangkitkan dalam persidangan kali ini.