MAJLIS BELIA MALAYSIA

Jujurlah dalam perjuangan

Oleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee

SEJAK seminggu ini hati dan fikiran penulis benar-benar tersentuh dengan isu tuntutan penghapusan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang disuarakan sekumpulan mahasiswa. Tuntutan ini timbul seiring dengan janji pihak parti pembangkang yang akan memberikan perkhidmatan pendidikan percuma kepada pelajar di universiti.

Kemuncak kepada tuntutan ini ialah tindakan berdemonstrasi membabitkan kira-kira 300 mahasiswa di Dataran Merdeka. Sehingga artikel ini ditulis, masih terdapat kumpulan ini yang berkampung di situ demi tuntutan berkenaan.

Tuntutan pemansuhan PTPTN menjadi sensasi di kala Ahli Parlimen giat meneliti cadangan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Penulis juga terkena tempiasnya.

Sebagai pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan orang muda dan belia sememangnya setiap gerak laku dan cetusan pemikiran mahasiswa akan diteliti dan diperhatikan.

MBM akan menilai sesuatu persoalan secara objektif dan khusus. Sudah banyak kali penulis memberikan pandangan kepada rakan media berkaitan isu kemahasiswaan. Pendirian MBM amat jelas. Mahasiswa mesti didengar suaranya. Mahasiswa adalah rakyat yang terjaga haknya di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Sebab itulah MBM menyokong agar pindaan AUKU dilaksanakan bagi memastikan hak mahasiswa khasnya yang berumur lebih 21 tahun terlaksana dengan dibenarkan terbabit memegang jawatan dalam mana-mana parti politik.

Pendirian konsisten MBM ini terbukti apabila penulis terjumpa rekod fail maklum balas MBM kepada Kementerian Pelajaran berkaitan cadangan penambahbaikan AUKU pada 1986 yang dipengerusikan Hassan Malek yang kini Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar.
Meneliti dokumen itu penulis berasa amat takjub kerana ia disediakan secara terperinci fasal demi fasal berkaitan AUKU dan ditaip menggunakan mesin taip. Penulis belum pasti adakah belia sekarang sanggup menyediakan dokumen setebal itu tanpa kesalahan ejaan menggunakan mesin taip manual.

Aduh! Kecilnya rasa diri ini. Sebab itulah penulis sentiasa berpendirian bahawa perjuangan orang yang terdahulu jangan dipandang sepi dan dilupakan. Penulis sempat bertemu Datuk Hassan Malek sewaktu program Karnival Iktiraf Warga Felda di Dataran Merdeka awal bulan lalu. Ternyata beliau masih ingat usaha besar itu dan mahukan perjuangan belia diteruskan.

Kepada mahasiswa sekalian yang ada di luar sana, satu perkara yang penulis mahu kongsikan di sini ialah perjuangan memerlukan kesabaran, ilmu dan adab sopan! Sejak 1986 iaitu sewaktu dokumen Maklumbalas Penambahbaikan AUKU oleh MBM dikemukakan kepada kerajaan, MBM atau mana-mana pemimpinnya tidak pernah melakukan tindakan provokasi, demonstrasi atau kekecohan dalam perjuangannya. MBM sentiasa berpegang kepada prinsip perundingan dan bertatasusila dalam setiap tuntutan.
Kami akan sentiasa melihat sesuatu isu mengikut sudut pandang orang lain. Mungkin bagus kepada kita, tetapi tidak bagus kepada orang lain. Perjuangan dan tuntutan pula perlu ada asas serta perkiraannya. Sebab itulah MBM pada masa itu meneliti keseluruhan AUKU dengan memanggil ahli belia yang pakar dalam bidang perundangan serta pendidikan.
Maka maklum balas serta saranan yang dimajukan kepada kerajaan adalah bersifat membina dan konstruktif. MBM yakin tidak ada sebuah negara pun yang mencipta undang-undang bagi tujuan memusnahkan rakyat dan negaranya sendiri.

MBM tetap mengakui AUKU yang diperkenalkan sejak 38 tahun dulu berjaya memastikan rakyat dan negara memberikan fokus dalam pembangunan modal insan di pengajian tinggi.

Tiada siapa yang boleh menafikan hakikat itu. Ketenteraman dan kesentosaan universiti dan warganya terpelihara pada saat penting negara yang baru hendak memacu pembangunan.

Apa akan jadi jika ditakdirkan pada awal 70-an, sekiranya universiti dibiarkan bebas tanpa kawalan? Adakah sesi kuliah akan berlangsung aman sekiranya ideologi dan praktis politik dibiar menguasai pensyarah dan mahasiswa pada waktu itu? Sedangkan kini, baru beberapa hari AUKU dipinda pun kita sudah lihat sisi gelap tingkah laku provokasi melampau mahasiswa.

Demonstrasi yang sepatutnya dilaksana dengan aman dicemari dengan tindakan menghina pemimpin. Mahasiswa boleh tidak menyokong mana-mana pemimpin tetapi mengaitkan mereka dengan isyarat kematian adalah kerja yang biadab. Tahukah pesalah yang dikenakan hukuman berat oleh mahkamah pun masih mampu mengucapkan terima kasih serta tersenyum kepada hakim.

Inikan pula Perdana Menteri yang memikul tanggungjawab mentadbir negara secara sah dan diperakukan oleh undang-undang. Lebih teruk lagi, kumpulan mahasiswa ini mengetepikan nilai etika dan integriti apabila enggan meninggalkan kawasan Dataran Merdeka sedangkan ada pihak lain yang juga berhak menggunakan kemudahan itu.

Penulis tidak terkejut jika selepas ini masyarakat akan naik jelak dan memandang sinis pergerakan serta suara mahasiswa.

Seorang pemandu teksi dengan nada marah memberitahu penulis agar kumpulan mahasiswa yang sedang berkumpul di Dataran Merdeka mengambil tempat beliau untuk memandu kereta dan mencari penumpang.

“Biar mereka tahu erti susah payah saya mencari duit setiap hari untuk membayar sewa teksi dan kos petrol. Kalau saya sakit hari ini pun sewa masih kena bayar RM50 sehari kepada tauke. Budak-budak ni dapat PTPTN bayar RM50 sebulan pun payah. Hidup nak senang. Tegur sikit nak marah. Lepas tu semua nak percuma”. Begitulah ayat sebenar yang dilontarkan pemandu teksi yang penulis naiki dan terperangkap dalam kesesakan jalan raya ekoran demonstrasi tadi.

Penulis turut berasa sedih dan bersalah kerana mahasiswa itu juga golongan belia yang seharusnya menggalas imej yang berwibawa dan terpelajar. Kepada rakan mahasiswa yang berkaitan, berpada-padalah dalam perjuangan ini. Mesej daripada perjuangan anda memang sampai kepada semua pihak. Anda semua harus jujur dengan perjuangan ini. Sedarlah buat masa ini ramai pihak di luar yang menuding jari marah dan meluat. Semuanya berpunca daripada tindakan anda yang berlebih-lebih.

Cubalah bercampur dengan lebih ramai orang. Jangan hanya terbuai oleh sorak dan sorai penyokong anda. Pergilah bertemu pengusaha kedai mamak dan tukang sapu sampah di tengah bandar. Temui juga tuan imam dan bilal di surau serta masjid yang berdekatan. Sudah pasti anda semua akan dapat memahami bahawa anda bukanlah satu-satunya makhluk dalam negara ini yang perlu diberikan perhatian. Kepada pemimpin yang berwibawa, janganlah pula anda semua menjadi batu api. Malah sebahagian anda juga adalah orangnya yang menyokong penubuhan PTPTN. Mengapakah ia menjadi satu isu besar pada waktu hari mengundi PRU-13 semakin hampir? Mengapa tuntutan ini tidak ditimbulkan sewaktu awal penubuhannya di kala caj perkhidmatan masih setinggi empat peratus dan ekonomi negara masih hebat? Bukankah sejak dulu PTPTN diurus dengan baik dan melalui pelbagai penambahbaikan sesuai dengan pandangan serta permintaan mahasiswa. Adakah sekalian Yang Berhormat lupa bahawa kerajaan sudah turunkan kadar caj perkhidmatan, memperkenalkan pendahuluan RM1,500 untuk pendaftaran di IPT dan melonggarkan kaedah serta jumlah bayaran balik bulanan oleh peminjam.

alahkah sekalian rakyat, termasuk penulis berasa sangsi dan curiga bahawa tuntutan anda semua hanyalah sebuah gimik politik? Adakah kita akan berasa kenyang dan tidur lena jika setiap hari dihidangkan dengan gimik politik dan ceramah retorik yang memainkan emosi? Marilah kembali kepada realiti dan dunia sebenar. Bak kata pepatah ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya.

Mahasiswa tidak akan jatuh maruah sekiranya perlu berunding dan menyatakan keakuran. Letakkan diri anda pada kedudukan orang lain. Pasti anda semua akan memiliki pandangan alam yang lebih mendalam.
Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »