PBM merupakan platform kepada generasi muda menjadi perantaraan belia dan kerajaan untuk menyuarakan pendapat dengan mengutarakan isu-isu berkaitan belia, sekali gus memberi pendedahan awal mengenai sistem demokrasi.

Baru-baru ini, .com berpeluang menemuramah alumni PBM yang sedikit sebanyak memberi pendedahan tentang matlamat penubuhan itu.

Menurut Ahli Parlimen Belia Perak  yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja MBM, Rizmel Nazrin Abdul Malik, 25, program ini merupakan satu inisiatif dan visi untuk melahirkan kepimpinan muda dari peringkat akar umbi.

“PBM dapat membentuk pemimpin dengan meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dari kalangan generasi Y itu sendiri bagi kesinambungan kepimpinan negara dalam jangka masa panjang.

“Kepimpinan dalam diri seseorang itu dapat dibentuk melalui penglibatan dalam program PBM. Ini kerana kami sebagai ahli turut melibatkan diri dalam aktiviti ‘turun padang’, selain melawat kawasan untuk mendekati belia serta mendengar rintihan mereka,” katanya.

Rizmel yang juga Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri menambah, persepsi orang ramai terhadap PBM bahawa penubuhannya bersifat politik perlu ditangkis.

“PBM bersifat bebas dan tidak ada partisan. Peranan kami adalah menyuarakan pandangan belia berhubung isu semasa ke arah meningkatkan pembangunan negara. Dengan itu, kami ahli-ahli Parlimen Belia menjadi saluran komunikasi antara generasi muda dan kerajaan.

“Antara isu-isu yang diusulkan adalah isu perumahan, biasiswa, penyalahgunaan dadah, gejala sosial, peluang kerjaya yang terhad, gaji yang minimum dan sebagainya. Jadi, tanggapan segelintir pihak yang mengatakan PBM ini adalah pengaruh parti politik tertentu harus ditangkis,” jelasnya.

Dalam pada itu, Rizmel mengalu-alukan dan menggalakkan penyertaan belia dalam PBM. Menurutnya, untuk menjadi ahli PBM, mereka perlu melalui proses pemilihan dan pengundian secara dalam talian.

“Antara syarat untuk menjadi calon bagi pemilihan ahli PBM ialah warganegara Malaysia, berusia antara 18 hingga 30 tahun, dan mempunyai lima pengikut yang menyokong percalonan,” katanya.

Manakala syarat untuk pengundi pula adalah warganegara Malaysia, berusia 15 hingga 40 tahun dan pengundian bermula pada Ogos ini, diikuti dengan keputusan pada September.

Pendaftaran dan kemas kini maklumat pemilih PBM kini dibuka sehingga 31 Mei ini dan untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web http://www.parlimenbelia.gov.my/ – SYAZWANI BUSTAMAM