MAJLIS BELIA MALAYSIA

Jelajah ‘Menggerak Belia’ HBN26 Bermula di Kuala Lumpur, Cetus Semangat Menuju Hari Belia Negara

KUALA LUMPUR 17 April – Program Jelajah ‘Menggerak Belia’ sempena Hari Belia Negara (HBN) 2026 secara rasminya memulakan perjalanan di Universiti Geomatika Malaysia sebagai lokasi pelancaran dan checkpoint pertama, menandakan bermulanya gerakan menyatukan suara serta aspirasi anak muda di seluruh negara.

Mengangkat tema “Menggerak Belia”, jelajah ini berperanan sebagai platform utama mempromosikan Sambutan Hari Belia Negara 2026 yang bakal berlangsung pada bulan Mei di Negeri Sembilan. Inisiatif ini memberi fokus kepada penglibatan aktif belia dalam pembangunan negara melalui pendekatan yang segar, inklusif dan berimpak tinggi.

Pelbagai pengisian menarik telah disusun sepanjang program, termasuk sesi Aspirasi Belia 2026 yang membuka ruang kepada golongan muda untuk berkongsi pandangan, idea dan harapan mereka dalam membentuk masa depan negara. Program ini diharap dapat menyemarakkan semangat belia untuk terus progresif, kreatif dan berdaya saing dalam mendepani cabaran semasa.

Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Encik Sabran Abd Bahar, Pengarah Belia dan Sukan Persekutuan. Turut hadir ialah Prof Madya Norazeab Abdul Malik, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Universiti Geomatika Malaysia; Encik Khairudin Khalid, Pegawai Belia dan Sukan Kawasan Titiwangsa; Sdr. Khairul Rizam Abu Samah, Presiden Majlis Belia Wilayah Persekutuan serta Sdri. Ng Chor Eng, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia.

Dengan sokongan padu daripada pelbagai pihak, Jelajah Menggerak Belia menjadi momentum penting dalam memperkukuh jaringan komuniti belia serta menyatukan tenaga anak muda ke arah menjayakan Sambutan Hari Belia Negara 2026. Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa generasi muda sebagai pemacu utama pembangunan negara yang lebih gemilang.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »