ALOR SETAR 18 April – Jelajah Menggerak Belia sempena Hari Belia Negara (HBN) 2026 terus mencetuskan gelombang semangat anak muda apabila tiba di checkpoint ketiga di Pekan Rabu, Kedah hari ini.
Program jelajah ini menjadi platform strategik dalam menyampaikan hebahan dan mempromosikan sambutan HBN yang diraikan setiap 15 Mei, sebagai simbol penghargaan kerajaan terhadap peranan penting belia dalam pembangunan negara.
Suasana di Pekan Rabu bertukar meriah dengan penyertaan aktif belia dan komuniti setempat melalui pelbagai pengisian menarik seperti sukaneka komuniti, sesi sembang santai serta aktiviti interaktif yang mengukuhkan hubungan dan semangat kebersamaan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Azura Hj Sarbin, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Kedah bersama Sdr. Amir Murshidi Hj Samsuddin, Presiden Majlis Belia Negeri Kedah. Turut hadir memeriahkan program ialah Puan Siti Rohaya Johari, Setiausaha Ahli Lembaga Koperasi Pekan Rabu serta Sdri. Eng Chor Eng, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM).
Kehadiran barisan kepimpinan ini mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkasa peranan belia sebagai pemacu pembangunan komuniti di peringkat negeri dan nasional.
Jelajah Menggerak Belia akan diteruskan ke checkpoint seterusnya di Pulau Pinang pada hari berikutnya, dengan matlamat untuk terus menyemarakkan aspirasi dan semangat Hari Belia Negara 2026 di seluruh negara.
Ayuh anak muda, kita gegarkan Hari Belia Negara 2026!








