MAJLIS BELIA MALAYSIA

Jelajah Menggerak Belia 2026: Perak Buktikan Kuasa Generasi Muda!

TAIPING 20 April – Siri Jelajah ‘Menggerak Belia’ sempena Hari Belia Negara 2026 yang singgah di Checkpoint 5 ini menjadi platform penting untuk memperkasa potensi belia, memperluas jaringan serta menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda menjelang sambutan nasional yang bakal berlangsung di Negeri Sembilan.

Antara acara utama yang mencuri tumpuan ialah Penyerahan Gimik Kotak HBN 2026 yang disempurnakan oleh Saudara Muhammad Naim Al Amin bin Saharudin, Presiden Majlis Belia Negeri Perak merangkap Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia (MBM). Simbolik penyerahan ini bukan sekadar acara, tetapi lambang komitmen dan sokongan padu terhadap agenda memperkasa belia sebagai aset strategik negara.

Program turut dimeriahkan dengan sesi Sembang Santai bersama kepimpinan Majlis Belia Negeri Perak yang membuka ruang dialog dua hala, selain aktiviti Briskwalk yang memupuk gaya hidup sihat dan Perlawanan Bowling Santai Belia Perak yang menyuntik elemen keseronokan serta semangat kesukanan dalam kalangan peserta.

Lebih daripada sekadar himpunan, program ini berperanan sebagai jambatan yang menghubungkan aspirasi belia dengan agenda pembangunan negara. Ia menjadi medan untuk mencetus inspirasi, mengukuhkan jaringan, dan menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan generasi muda.

Selepas Perak, Jelajah ‘Menggerak Belia’ akan meneruskan momentum ke Timur Tanah Air dengan destinasi seterusnya di Negeri Kelantan, membawa bersama gelombang semangat belia yang semakin membara di seluruh negara.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »