Alor Setar | 15 Mac – Majlis Belia Malaysia (MBM) dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Kedah (MBNK) telah menganjurkan Program Jelajah Imarah Ramadan peringkat negeri Kedah bagi mengeratkan hubungan dengan masyarakat setempat.
Program yang berlangsung di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah ini menyaksikan pengedaran bubur lambuk kepada orang ramai serta majlis berbuka puasa bersama belia negeri Kedah.
Majlis ini turut dihadiri oleh Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid; Timbalan Presiden MBM, Sdr. Khairul Azman Azeez; serta Setiausaha Agung MBM, Sdr. Farhan Rosli.
Hadir sama memeriahkan majlis ialah Presiden MBNK, Sdr. Amir Murshidi, yang menyambut dan beramah mesra dengan para tetamu.
Turut serta dalam program ini adalah pegawai dari Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Kedah serta wakil Akademi Kenegaraan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri Negeri Kedah.
Program ini bukan sahaja bertujuan menyemarakkan semangat Ramadan dalam kalangan belia, malah menjadi platform untuk memperkukuh ukhuwah serta menyemai nilai-nilai kemasyarakatan dalam diri generasi muda.








