MAJLIS BELIA MALAYSIA

Jawatankuasa Youth for Unity MBM dibentuk bagi semarakkan perpaduan dalam masyarakat Malaysia

KUALA LUMPUR 20 Disember – Majlis Belia Malaysia (MBM) dan UCSI Universiti dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara telah menganjurkan Youth Peace and Unity Workshop (Bengkel Keamanan dan Perpaduan Belia) yang memberi fokus memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum khususnya generasi muda.

Program 2 hari ini dihadiri peserta-peserta daripada ahli-ahli badan gabungan MBM, mahasiswa dan aktivis belia. Peserta diberikan ruang mengutarakan pendapat serta berkongsi pengalaman mereka mengenai isu-isu perpaduan.

Sdr. Lim Swee Bok Naib Presiden MBM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Integrasi Nasional dan Kepenggunaan MBM dan Sdr. Ahmad Shah Mohamad Salleh, Timbalan Pengerusi turut serta berkongsi idea bersama para peserta.

Turut sama mengisi slot ceramah ialah Pengarah Eksekutif Sekretariat SDG UCSI Universiti, Puan Norani Abu Bakar yang membincangkan tentang peranan SDG dan hubung kait dengan perpaduan.

Sesi ini diselangi dengan aktiviti dalam kumpulan bagi mencari solusi untuk menyemarakkan semangat perpaduan dikalangan generasi muda selain penubuhan jawatankuasa Youth for Unity yang digerakkan oleh MBM.

Antara pengisian lain ialah Forum Harmoni yang membincangkan Strategi NGO untuk Menyumbang kepada Perpaduan Negara menampilkan berisan panelis yang dianggotai oleh wakil agama dan kepercayaan seperti Islam, Buddha, Kristian, Sikh, Hindu, Taoism dan Bahai.

Majlis perasmian program ini disempurnakan oleh Timbalan Pengarah, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Encik Zulkhairi Zainal. Manakala majlis penutup disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Datuk Hisamuddin Mohd Sujak.

Satu resolusi hasil daripada bengkel ini juga telah diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Youth for Unity MBM, Sdr. Muhamad Ghazali kepada Ketua Pengarah JPNIN untuk diangkat keperingkat kementerian.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Sekretariat SDG UCSI Universiti, Puan Norani Abu Bakar, Presiden MBM, Sdr. Jufitri Joha, Naib Presiden MBM Sdr. Lim Swee Bok, Setiausaha Agung MBM, Sdr. Hasnul Haniff Harun, Exco MBM Sdr. Ahmad Shah Mohamad Salleh dan Sdr. Mohd Faiz Shuhaimi.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »