MAJLIS BELIA MALAYSIA

Janjikan sambutan berskala besar 2011

hbn2010_menteribelia

Monday, 17 May 2010

PUTRAJAYA 16 Mei – Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, sambutan Hari Belia menggunakan format baru seperti yang diperkenalkan tahun ini akan diadakan dalam skala lebih besar pada tahun depan.

Menurutnya, ini bagi membolehkan lebih banyak aktiviti melibatkan belia dapat diadakan sekali gus memberi peluang kepada mereka berinteraksi dengan rakan-rakan yang mempunyai minat berlainan.

”Secara keseluruhannya, kami berpuas hati dengan sambutan kali ini yang begitu luar biasa.

”Banyak perkara yang dapat kita lihat tentang minat dan kecenderungan para belia selain berpeluang memahami jiwa anak-anak muda,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sehubungan itu, kata Ahmad Shabery, kerajaan akan menjadikan format terbaru sambutan hari belia tersebut sebagai format tahunan dengan melibatkan lebih banyak pihak termasuk kementerian- kementerian lain.

”Selepas ini, kita akan adakan proses bedah siasat dan mengadakan perbincangan dengan Perbadanan Putrajaya bagi membuat persediaan untuk sambutan pada tahun depan.

”Ramai yang melahirkan rasa kagum apabila Putrajaya benar-benar diubah wajahnya menjadi sebuah ‘bandar belia’ sepanjang tiga hari sambutan itu,” katanya.

Tambah beliau, konsep memasukkan kegiatan belia dalam sambutan itu akan dikembangkan dengan penglibatan pihak swasta, agensi-agensi lain dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

”Ini ternyata menjimatkan seperti pertandingan Rentap Futsal Putrajaya Kosmo! yang dianjurkan pihak swasta malah mencatatkan kejayaan luar biasa apabila berjaya menarik kira-kira 15,000 penonton,” katanya.

Selain itu, katanya, sambutan kali ini juga memberikan peluang kepada persatuan-persatuan belia dan usahawan mendapatkan pasaran belia.

”Ini sekali gus merupakan cara untuk mereka memasarkan produk dan jenama mereka dalam pasaran golongan belia,” katanya.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »