PUTRAJAYA 25 Mei 2013 – Dakwaan pembangkang bahawa Barisan Nasional (BN) telah mencuri kemenangan mereka adalah satu kepalsuan kerana BN tidak pernah melakukan penipuan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun pembangkang sering mendakwa berlaku penipuan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 tetapi mereka gagal menunjukkan bukti, malahan tidak membuat aduan rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
”Tunjuk warganegara Bangladesh yang dikatakan mengundi, tunjukkan di pusat mengundi mana terdapat warga Bangladesh. Mereka tidak ada bukti.
”Mereka mendakwa bahawa 40,000 warga Bangladesh diterbangkan untuk mengundi, tunjukkan lapangan terbang mana. Jangan tuduh sembarangan bahawa seseorang itu adalah warga Bangladesh hanya kerana mereka gelap sedikit,” katanya ketika berucap merasmikan Festival Belia Putrajaya di sini malam ini.
Ribuan orang dari seluruh negara termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, menteri-menteri Kabinet dan timbalan-timbalan menteri telah menghadiri majlis itu.
Perdana Menteri menegaskan pembentukan kerajaan sedia ada adalah berdasarkan kepada Perlembagaan dan semua pihak perlu menerima keputusan yang telah dibuat melalui peti undi dan bukannya melalui perhimpunan jalanan.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai sistem pilihan raya sendiri, berlainan dengan sistem undi popular yang digunakan untuk memilih Presiden di sesetengah negara.
”Kalau ada sistem pemilihan Presiden yang guna undi popular, saya tidak ada masalah untuk bertanding secara terus dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
”Negara kita menggunakan sistem demokrasi berparlimen dan inilah yang telah menentukan bahawa BN menang,” katanya.
Najib berkata, belia tidak perlu menuntut perubahan melalui perhimpunan jalanan kerana kerajaan mampu melakukan perubahan dan menyediakan pentadbiran yang baik untuk masa depan orang muda.
”Belia mesti mempunyai nilai yang baik dan berfikiran secara waras. Bukan semua bahan dalam media sosial adalah benar dan bukan semua maklumat dalam media utama ialah propaganda kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, perubahan mesti berpaksi pada Perlembagaan untuk mengelakkan berlaku ‘undang-undang rimba’ di dalam negara ini.
”Pemain bola juga mesti ikut peraturan. Kalau kita menguasai bola tetapi tidak menyumbat gol, kita tidak boleh mengisytiharkan diri menang,” katanya.
Sementara itu, Manndzri Nasib dari Johor dan Halimah Abd. Rahman (Sabah) diumumkan sebagai penerima Anugerah Perdana Belia Negara 2013 untuk kategori lelaki dan wanita sempena Festival Belia Putrajaya.
Hadiah disampaikan oleh Perdana Menteri.
Kejayaan itu membolehkan Manndzri yang merupakan anggota Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Halimah (ahli Persatuan Puteri Islam) membawa pulang hadiah RM20,000, piala iringan dan sijil penghargaan.
Dalam pada itu, Persatuan Belia Simpang Bekoh, Melaka yang mempunyai rekod pengurusan dan dokumentasi yang baik diumumkan sebagai pemenang kategori pertubuhan belia serta membawa pulang RM50,000, piala dan sijil.