MAJLIS BELIA MALAYSIA

Jangan ketepi isu utama dibawa himpunan mahasiswa Sabah – MBM

KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) menghargai aspirasi mahasiswa yang menyuarakan penolakan terhadap rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan tadbir urus melalui perhimpunan aman yang diadakan di Sabah baru-baru ini.

Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, di sebalik tindakan tidak wajar oleh segelintir mahasiswa yang membakar gambar Perdana Menteri ketika himpunan aman itu namun isu utama yang diperjuangkan oleh mereka tidak boleh diketepikan.

Sehubungan itu MBM menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertindak lebih tegas, jujur dan telus dalam menyiasat kes-kes rasuah berprofil tinggi serta memastikan tindakan diambil secara adil dan tanpa pilih kasih.

“Ketegasan yang konsisten amat penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat, khususnya generasi muda terhadap institusi keadilan dan integriti negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Izzat, negara ini masih berdepan cabaran serius dalam usaha memerangi rasuah yang mana menurut Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perceptions Index – CPI) 2024 oleh Transparency International, Malaysia kekal dengan skor 50/100 dan berada di kedudukan ke-57 daripada 180 negara.

Ujar beliau, kedudukan itu jelas merupakan indikasi jelas bahawa perjuangan menentang rasuah memerlukan pendekatan menyeluruh atau Whole-of-Nation Approach yang melibatkan pelbagai pihak.

Tambahnya, sebagai badan induk belia negara, MBM komited untuk menyediakan ruang dialog terbuka serta menjadi jambatan antara mahasiswa dan agensi-agensi berkaitan.

“MBM juga bersedia menggalakkan penyertaan aktif mahasiswa melalui sesi libat urus bersama SPRM serta menyokong inisiatif penggubalan dasar yang lebih konstruktif, berstruktur dan inklusif dalam usaha membanteras rasuah.

“MBM percaya bahawa perjuangan melawan rasuah mesti digerakkan oleh semua lapisan masyarakat dengan menjunjung prinsip hikmah, keberanian dan tanggungjawab bersama, demi masa depan Malaysia yang bersih, telus dan berintegriti,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 13 pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dikenal pasti terbabit dalam perhimpunan ‘Gempur Rasuah 2.0’ yang diadakan di Kota Kinabalu hujung minggu lalu.

Himpunan aman yang disertai kira-kira 100 individu itu bagaimanapun mencetuskan kontroversi apabila pesertanya didapati turut membakar karikatur Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. – MalaysiaGazette

Artikel penuh :

https://malaysiagazette.com/2025/06/25/jangan-ketepi-isu-utama-dibawa-himpunan-mahasiswa-sabah-mbm/?fbclid=IwY2xjawLJqmpleHRuA2FlbQIxMQBicmlkETEzT1NTdFB1UGxSOWJoaG90AR5gFN0orW6hcJcbbzayWI2p0zr-e_y-b2f_Fw7zofUlyCAR-15GA2SQ8y4bvg_aem_h8Pn9q_HEsfy7kyY7-vmdA

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »