KUALA LUMPUR – Majlis Belia Malaysia (MBM) menasihatkan golongan belia di negara ini agar tidak mencipta alasan untuk tidak berjaya walaupun terdapat kekangan termasuk melibatkan faktor kewangan.
Presidennya, Muammar Ghadafi Jamal Jamaludin berkata, ramai usahawan berjaya di negara ini yang boleh dijadikan contoh.
“Kita kalau nak berjaya, kita boleh cari jalan untuk berjaya. Yang penting kita jangan asyik mencipta alasan,” katanya kepada Sinar Online.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada rungutan-rungutan yang kedengaran ketika cadangan melakukan dua kerja untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat dibangkitkan.
Akui rakyat hari ini sedang tersepit dek peningkatan kos sara hidup, Muammar Ghadafi berkata, di sinilah pentingnya menguruskan masa sebaiknya selain keperluan melatih diri untuk membuat keputusan mengikut keutamaan.
“Ramai yang ada kreativiti dan ramai juga yang sudah berjaya. Walaupun sudah ada kerja tetapi mereka kerja sampingan seperti buat perniagaan online. Ada juga yang sampai berhenti kerja tetap dan fokus pada perniagaan online.
“Secara tak langsung kreativiti itu menambah pendapatan mereka dan akhirnya mereka menjadikan perniagaan pada awalnya suka-suka itu sebagai kerja utama mereka. Utamakan mana yang perlu dahulu. ALLAH SWT kurniakan masa sama kepada semua manusia. Jadi, kena pandai-pandai uruskan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan terutamanya kepada golongan muda agar tidak pernah memandang rendah pada kreativiti diri masing-masing.
“Sebab itu MBM nak ajak anak-anak muda ini untuk melihat dalam diri sendiri, kreativiti yang ada dalam diri mereka.
“Jangan rasa rendah diri dan jangan rasa idea-idea kita ini tidak boleh mendatangkan hasil,” katanya.
Katanya, kerajaan banyak menyediakan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat termasuk pinjaman kewangan untuk memulakan perniagaan namun tidak ramai yang merebut peluang tersebut.
Dalam pada itu, katanya, MBM menyatakan kesediaan untuk bersama-sama dengan masyarakat dan menjadi jambatan kepada inisiatif-inisiatif kerajaan ini bagi membantu masyarakat.