Bagi menjadi individu berkeyakinan, cergas
ARAU 23 Nov. – Golongan belia diingatkan tidak menjadikan alasan tugas sebagai halangan untuk bersukan atau melibatkan diri dengan aktiviti seni budaya dalam usaha membentuk individu yang baik.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sukan juga dapat membantu menjadikan seseorang berkeyakinan, berkebolehan, ceria dan cergas pembentukan keyakinan tanpa mengabaikan tugas hakiki mereka.
“Sukan mampu memupuk semangat kepimpinan, perpaduan, kerjasama dan keharmonian hidup dalam masyarakat majmuk seperti di Malaysia,” titah baginda ketika berkenan menutup Pesta Sukan dan Kebudayaan Belia Majlis Belia Malaysia (MBM) Ke-4 di Kompleks Sukan Tuanku Syed Faizuddin Putra (TSFP), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, di sini semalam.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah, sukan seumpama itu dapat membantu belia mengenali tentang sesuatu budaya, memupuk semangat setia kawan, meningkatkan kefahaman antara agama, sensitiviti, rasional, keakraban, harmoni dan cintakan negara.
“Bersukan juga merupakan satu daripada kempen cara hidup sihat yang harus digalakkan di semua peringkat khususnya golongan sasaran iaitu belia.
“Ini kerana dengan bersukan dapat mengurangkan pelbagai risiko penyakit,” titah baginda.
Selain itu, titah Tuanku Syed Faizuddin, kegiatan sukan dan seni budaya merupakan medan yang sesuai bagi menangani tekanan atau melupakan sejenak tugasan harian.
Sambil melahirkan penghargaan kepada MBM, Majlis Belia Negeri Perlis (MBN), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) serta UiTM cawangan Perlis yang bekerjasama menjayakan sukan itu, baginda bertitah, sesungguhnya masyarakat mampu untuk menjana belia berkualiti di negara ini.
“Ia perlu bermula dengan beberapa langkah termasuk galakan terhadap penglibatan dalam pelbagai aktiviti berfaedah seperti sukan dan kegiatan seni budaya,” titah baginda.
– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/perlis/jangan-beri-alasan-tidak-bersukan-1.28345#sthash.28zguP0o.dpuf