MAJLIS BELIA MALAYSIA

Jamin tak hampakan generasi muda

Kuala Lumpur, 20 Julai 2012: Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan bahawa kerajaan kepemimpinannya tidak akan menghampakan generasi muda.
Malah, Perdana Menteri berikrar akan melaksanakan amanah diberikan rakyat dan golongan muda dengan bersungguh-sungguh ke arah masa depan lebih cerah. “Saya tahu kita ada kekurangan dan kelemahan di sana sini, namun kita akan memastikan berlakunya transformasi untuk menjadikan negara kita lebih cemerlang.
“Kita akan pastikan dasar dan pelaksanaan yang lebih berkesan dan sebagai ketua kerajaan saya akan terus bekerja untuk rakyat, lebih penting lagi amanah diberikan kepada kami tidak akan dihampakan,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika melancarkan Sekretariat Pemimpin Muda im4u sempena Konvensyen Pemimpin Muda Negara 2012, di bangunan Parlimen, di sini semalam.
Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.
Kira-kira 500 peserta mewakili pelbagai institut pengajian tinggi awam dan swasta serta pertubuhan belia hadir pada majlis itu anjuran Parlimen Malaysia, Gagasan 1Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Majlis Belia Malaysia (MBM).

Sistem lebih terbuka
Menyentuh mengenai konvensyen berkenaan, Perdana Menteri berkata, ia adalah julung kali diadakan di bangunan Parlimen bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai demokrasi berparlimen.
“Di sini (Parlimen) kita sentiasa melakukan pembaharuan dan transformasi, kita mengamalkan sistem lebih terbuka untuk menjaga hak asasi manusia serta memastikan negara sentiasa selamat,” katanya.

Terima pandangan
Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pandangan golongan muda amat penting untuk membantu kerajaan dalam mengubah dasar, mengatur strategi serta merangka program bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.
Timbalan Perdana Menteri berkata, generasi muda yang sentiasa dianggap sebagai pewaris negara turut berperanan penting untuk mencorakkan masa depan negara serta mengekalkan hubungan harmoni kepelbagaian kaum di negara ini.
Katanya, kerajaan sentiasa bersedia untuk menerima pandangan golongan muda dalam bersama-sama memperkasakan hal ehwal kenegaraan bagi memastikan segala perancangan yang dirangka benar-benar memberi manfaat kepada semua pihak.
“Golongan muda mempunyai tempat bukan saja sebagai warga tetapi pewaris kepemimpinan negara, golongan muda adalah penentu haluan dan masa depan negara.
“Setiap anak muda ada keistimewaan, ada cita-cita ada sesuatu yang hendak mereka dibuat, teruskan usaha itu asalkan ia tidak menyalahi dari sisi hukum,” katanya. Last Updated ( Friday, 20 July 2012 20:22 )

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »