Tiada sebarang alasan dapat diterima dalam perkara membabitkan pemasangan bendera terbalik yang heboh diperkatakan oleh warga netizen baru-baru ini. Majlis Belia Malaysia (MBM) menyifatkan simbol kedaulatan negara itu perlu dihormati oleh setiap rakyat Malaysia dan tindakan memasangnya dalam keadaan terbalik adalah satu penghinaan besar kepada negara.
Justeru, tindakan undang-undang perlu diambil kepada pihak yang bertanggungjawab mengikut peruntukan seksyen 504 kanun keseksaan, seksyen 14 akta kesalahan-kesalahan kecil 1955 atau seksyen 233 akta komunikasi dan multimedia 1998 terhadap sesiapa yang didapati melakukan kesalahan ini.
Seksyen 504 kanun keseksaan iaitu kesalahan dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak menyebabkan bangkitan marah dan pecah keamanan membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan di bawah seksyen 14 akta kesalahan-kesalahan kecil 1955 boleh dihukum tidak melebihi 100 tahun. Manakala seksyen 233 akta komunikasi dan multimedia 1998 iaitu menggunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya satu ribu ringgit bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Dalam kita memastikan keharmonian sejagat terus terbela, MBM menyarankan agar masyarakat meletakkan tanda hormat yang tinggi bukan sahaja kepada bendera negara sendiri, tetapi juga bendera dari mana-mana negara sekali pun.
Orang ramai dinasihatkan juga supaya sentiasa menjaga kedaulatan negara dan tidak menyebarkan berita yang tidak tepat seterusnya mampu untuk menganggu gugat keamanan negara.
MUHAMMAD FADZLI HASAN
Timbalan Presiden
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 22 Ogos 2019