MAJLIS BELIA MALAYSIA

Jalan pintas hakis integriti anak muda

Oleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee

Pendedahan nilai etika sejak kecil bantu jadi rakyat bertanggungjawab

Berita penangkapan tiga anak muda yang dipercayai ada kaitan dengan kes penjualan ijazah Universiti Sains Malaysia (USM) palsu melalui talian amatlah mengejutkan. Penangkapan ini adalah rentetan laporan polis yang dibuat oleh pentadbir USM yang disusuli siasatan terperinci pihak polis.
Buat masa ini siasatan sedang dijalankan dan difahamkan suspek bergerak secara sindiket dan sudah berjaya memperdaya lebih daripada 20 mangsa. Amat menghairankan kerana pada zaman serba canggih dan terbuka ini masih ada manusia ingin mencari jalan pintas mendapatkan segulung ijazah dengan membelinya secara dalam talian.

Bagi penulis, tindakan membeli ijazah palsu mungkin masih boleh dipraktikkan pada zaman 60-an atau 70-an iaitu sewaktu masih ada kekangan maklumat dan keterbatasan media. Dewasa ini, adalah perkara lumrah bagi orang ramai bertanyakan siapakah rakan sekuliah atau rakan segraduan apabila bercakap mengenai ijazah yang diterima.

Lebih tinggi ijazah diterima, lebih banyak persoalan diteroka berkaitan diri seseorang. Paling tidak pun, rakan sekerja dan majikan akan mula mempertikaikan kemahiran serta kewibawaan si pemakai ijazah palsu ini kerana sudah pasti kita boleh mengagak keupayaan sebenar beliau.

Bagi penulis berita ini sedikit sebanyak mencetuskan persoalan mengenai nilai integriti yang dipegang sebahagian anak muda di negara ini. Nampaknya proses pengajian selama lebih tiga tahun di universiti masih belum mampu membentuk nilai serta karakter terbaik bagi sesetengah graduan.
Keinginan mengaut kesenangan secara mudah telah mengaburi mata anak muda kita. Ada pandangan menyatakan bahawa hambatan menikmati gaya hidup mewah dan bergaji besar membuatkan sesetengah anak muda mengambil langkah mudah yang pada hakikatnya amat berbahaya.

Hasil penyelidikan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Belia (IPPBM), Kementerian Belia dan Sukan menunjukkan kefahaman mendalam orang muda atau belia terhadap perbuatan rasuah amat kurang. Dinyatakan hanya 13.4 peratus belia yang tahu hukuman sebenar yang akan dihadapi pelaku rasuah.

Kajian bertajuk ‘Kajian Kefahaman dan Persepsi Belia Terhadap Rasuah di Malaysia’ juga menunjukkan masih ada ramai belia bersedia membantu memerangi gejala rasuah tetapi pada masa sama, mereka tidak menyedari bahawa sebenarnya mereka adalah dilindungi sebagai saksi.

Undang-undang terbaru yang diperkenalkan di negara ini berkonsepkan whistle blower sebenarnya menyediakan perlindungan terbaik memerangi kejadian rasuah dalam kalangan masyarakat.

Usaha membanteras gejala rasuah perlu dijalankan secara berterusan dan meliputi semua aspek kehidupan termasuk dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan agama. Namun pokok pangkal usaha ini haruslah bermula pada konteks masyarakat sivil keluarga dan komuniti. Maknanya keseluruhan sistem masyarakat kita harus menolak kejadian rasuah secara total. Budaya ‘mengambil hati’, ‘berbudi bahasa’, dan ‘mengenang budi’ harus dipraktikkan secara berhati-hati dan tidak boleh melangkaui makna sehingga menjadi suapan dan habuan bagi sesuatu pemberian tender atau peluang perniagaan.

Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaparkan nama pesalah rasuah dalam sebuah laman web khas adalah antara cara yang dilihat mampu menyalurkan mesej berguna berkaitan kesan buruk gejala rasuah dalam kalangan belia. Kaedah penyampaian dan penyaluran maklumat berkesan kepada belia dengan menggunakan kaedah berbantukan ICT seperti saluran televisyen dalam talian, laman Facebook, Twitter serta laman blog dipercayai mampu membantu memberikan kesedaran lebih meluas kepada golongan berkenaan.

Usaha menyemai nilai integriti ini harus bermula pada usia awal anak kita. Ibu bapa perlu menyedari bahawa mereka mempunyai peranan besar memastikan anak ini membesar dengan nilai murni. Kadangkala tanpa disedari ibu bapa sendiri memberi pendedahan nilai buruk kepada mereka.

Bagaimanakah seorang bapa yang memandu melebihi had laju dan membuang sampah keluar dari kenderaan mampu menyampaikan mesej jelas berkenaan integriti? Cuba fikirkan apakah yang bermain dalam fikiran anak apabila seorang bapa yang merokok cuba menasihati anaknya agar tidak merokok?

Ini adalah gambaran jelas membuktikan bahawa perlakuan anak muda kita banyak dipengaruhi dan diteladani daripada perbuatan dan sikap orang dewasa di sekeliling mereka.

Kita harus menggandakan usaha menerapkan nilai etika dan integriti dalam jiwa belia kita agar mereka mampu menjadi warganegara yang mampu disandarkan tanggungjawab membina negara.

INFO: Akta Perlindungan Pemberi Maklumat

  • Akta Perlindungan Pemberi Maklumat (Akta 711) telah diluluskan di Parlimen pada 6 Mei 2010 dan mula berkuat kuasa pada 15 Disember 2010.
  • Akta dilaksanakan oleh semua agensi penguatkuasaan seperti SPRM, PDRM, Kastam, Imigresen, JPJ dan mana-mana agensi yang mempunyai kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan.

    Penulis ialah Presiden Majlis Belia Malaysia

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »