Monday, 05 July 2010
MAJLIS BELIA MALAYSIA – ISU PENGUNDI MUDA BUKAN ISU KAUM
Majlis Belia Malaysia (MBM) mengambil berat dan prihatin isu yang timbul berhubung statistik Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kurangnya kesedaran generasi muda terutamanya belia Melayu mendaftar sebagai pengundi.
Namun begitu, MBM melihat perkara ini tidak seharusnya dikaitkan dengan isu kaum tetapi lebih kepada isu umum dan negara. Ini kerana ia merupakan tanggungjawab setiap warga negara Malaysia yang layak mengundi tanpa mengira kaum. Setiap rakyat yang berusia 21 tahun ke atas perlu melibatkan diri dalam proses pembinaan negara dan bukannya menjadi penonton semata-mata.
MBM sebagai badan induk yang menjaga kepentingan orang muda di negara ini sedang menggiatkan usaha bagi memberi kesedaran dan kepentingan mengundi kepada generasi muda menerusi kempen penerangan selain melahirkan sifat kematangan politik. Buat masa ini, 40 buah badan-badan gabungan MBM telah menggunakan ruang masing-masing seperti karnival belia dengan kerjasama SPR bagi tujuan berkenaan. Melalui kejayaan penganjuran Karnival Belia peringkat kebangsaan disusuli karnival di peringkat negeri-negeri, MBM melihat wujud minat dan sambutan baik dari generasi muda dan platform ini sepatutnya digunakan sebaik mungkin oleh agensi-agensi berkaitan bagi menarik golongan ini.
MBM juga mendapati adalah penting bagi semua pemimpin masyarakat samada yang parti politik, komuniti serta badan-badan bukan kerajaan untuk mengambil inisiatif menarik minat dan mengajak pengikut masing-masing mendaftar sebagai pengundi. Pemimpin perlu turun padang dan mendekati golongan sasaran ini kerana kaedah ini dilihat lebih efektif berbanding hanya mengharapkan mereka datang secara sukarela ke kaunter pameran yang dibuka secara statik bagi membuat pendaftaran. Melalui pengalaman MBM, kesedaran dan minat generasi muda hanya akan wujud sekiranya ia diterangkan dengan secara jelas serta digerakkan oleh individu yang berpengaruh dalam kalangan mereka.
MBM berharap generasi muda dapat menunaikan tanggungjawab mereka kepada negara selain memanfaatkan undi bagi menentukan kepimpinan negara pada piliharaya akan datang.
MOHAMED MALIKI MOHAMED RAPIEE
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Tel : (017) 4648744
Bertarikh : 11 Julai 2010