Oleh :
Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez
Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia
Saya melihat isu bil elektrik ini daripada sudut yang paling penting iaitu suara dan beban rakyat.
Rakyat sebagai pengguna tidak mahu sekadar mendengar siapa yang patut dipersalahkan. Mereka mahu tahu kenapa bil semakin membebankan dan apa penyelesaian yang benar-benar boleh membantu mereka?
Faktanya, struktur tarif elektrik Semenanjung kini mempunyai dua komponen utama: tarif asas dan mekanisme Automatic Fuel Adjustment (AFA), yang berubah mengikut kos bahan api, kos di bawah PPA dan SLA serta beberapa kos penjanaan lain.
Tetapi bagi saya, penjelasan tentang mekanisme sahaja tidak mencukupi. Rakyat mahukan penyelesaian. Jika Malaysia ingin memperbaiki mekanisme bantuan elektrik, saya berpandangan kita tidak perlu mencipta sistem yang terlalu kompleks. Kita boleh memperbaiki sistem sedia ada supaya lebih bersasar dan benar-benar sampai kepada rakyat yang memerlukan.
1) Rebat berdasarkan pendapatan, bukan penggunaan semata-mata
Kita perlu melihat semula mekanisme bantuan supaya tidak hanya bergantung kepada jumlah kWh yang digunakan. Dengan pemanfaatan data dan mekanisme perlindungan data yang sewajarnya, kerajaan boleh mengenal pasti isi rumah B40 dan M40 bawahan yang benar-benar memerlukan bantuan, lalu memberikan rebat bil elektrik secara lebih bersasar. Sebuah keluarga berpendapatan rendah yang menggunakan lebih banyak elektrik kerana mempunyai anak kecil, warga emas atau keadaan kediaman tertentu tidak seharusnya dilihat semata-mata melalui angka kWh. Kita mesti lihat kemampuan membayar, bukan penggunaan semata-mata.
2) Subsidi yang membantu rakyat memiliki sumber tenaga sendiri
Sebahagian dana subsidi jangka pendek boleh dipertimbangkan untuk dialihkan kepada geran atau pembiayaan mudah pemasangan solar bumbung bagi isi rumah yang layak. Malaysia sebenarnya sudah mempunyai pengalaman melalui NEM Rakyat, yang membolehkan tenaga solar digunakan sendiri dan lebihan dieksport ke grid dengan mekanisme offset. Program NEM tersebut berakhir pada Jun 2025 dan kini pendekatan solar bumbung diteruskan melalui Solar ATAP mulai 2026. Ini penting kerana subsidi bukan sekadar untuk mengurangkan bil bulan ini.
Kita juga perlu membantu rakyat mengurangkan bil mereka untuk 5, 10 atau 20 tahun akan datang. Namun, jangan pula kita memberikan bantuan solar secara pukal kepada semua. Bantuan perlu disasarkan kepada keluarga yang layak, dengan pembiayaan yang tidak membebankan dan proses permohonan yang mudah.
3) Lebih banyak pilihan untuk rakyat mengurus penggunaan elektrik
Tarif waktu puncak dan luar puncak perlu dibuat lebih mudah difahami dan lebih menarik supaya pengguna yang mampu mengubah waktu penggunaan dapat menjimatkan bil. Skim seperti Time-of-Use perlu diperluaskan dan dipermudahkan supaya pengguna boleh mendapat manfaat daripada kadar luar waktu puncak.
4) Ketelusan
Kalau kos bahan api naik, jelaskan.
Kalau kos penjanaan turun, jelaskan.
Kalau ada ruang untuk mengurangkan kos sistem, lakukan.
Pengguna tidak sepatutnya hanya menerima angka di hujung bil tanpa benar-benar memahami bagaimana angka itu terbentuk. Saya percaya pendirian parti politik dalam isu ini mesti lebih daripada sekadar mengkritik kenaikan tarif.
Kita mesti berani membawa cadangan yang boleh dilaksanakan. Bantuan elektrik mesti lebih bersasar, subsidi lebih bijak, pelaburan tenaga mesti melihat jangka panjang dan rakyat mesti mendapat perlindungan apabila kos tenaga meningkat.
Saya bercakap kerana rakyat yang membayar bil ini berhak mendapat jawapan, keadilan dan penyelesaian.
Itulah politik yang membawa suara rakyat, bukan sekadar politik menyalahkan, tetapi politik mencari jalan penyelesaian.
Bertarikh : 17 September 2026
*Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis