KUALA LUMPUR 29 Mei – Aspirasi golongan belia yang mahukan negara pada masa depan berada dalam rangka acuan pemikiran mereka bukan lagi angan-angan tetapi boleh direalisasikan menerusi program Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Beliau berkata, bukan sahaja keputusan diletakkan di tangan golongan muda, tetapi segala aspirasi mereka yang dikumpulkan menerusi pelbagai saluran TN50 akan membentuk visi dalam menentukan hala tuju negara pada tahun 2050.
“Ini bukan perkara main-main, ini ruang dan peluang yang perlu diambil peduli oleh anak-anak muda, jangan lepaskan. Negara lain tidak ada peluang seperti ini, bagaimana kita mahu corakkan negara masa depan, pemimpin bagaimana yang kita mahukan.
“Proses mengumpul aspirasi dan harapan TN50 masih berjalan supaya boleh diletakkan di dalam satu dokumen kebolehcapaian, ini bukan lagi angan-angan yang tidak boleh dicapai. Setiap aspirasi diambil kira,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program bual bicara `Inspirasiku: TN50 dan Masa Depan Generasi Muda Malaysia’ di Dewan Besar Utusan Melayu (M) Berhad di sini hari ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali turut menjadi panel manakala Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri sebagai moderator.
Yang turut hadir Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; timbalannya, Datuk Othman Mohamad; Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Profesor Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim.
Berikutan itu, Mua’amar Ghadafi meminta anak-anak muda terus melontarkan pandangan, harapan, aspirasi serta cadangan mereka berhubung TN50 melalui pelbagai medium termasuklah secara dalam talian di laman web https://mytn50.com.
Beliau menjelaskan, aspirasi yang diketengahkan bukan bererti akan direalisasikan pada tahun 2050, sebaliknya akan mula dilaksanakan sekarang.
“Ketengahkan apa sahaja harapan, projek perintis, contohnya seperti Sekolah TN50 yang hanya menumpu kepada pembangunan belia tahun 2050 tanpa terikat sebarang akta,” katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd