Oleh:
Sdr. Mohd Fared Mohd Khalid
Pengerusi Biro Perundangan, Advokasi & Hak Asasi
Majlis Belia Malaysia
Aidilfitri sudah masuk hari keempat belas. Insiden orang-orang muda lingkungan umur 19 hingga 35 tahun membakar suar sambil memegang kain rentang bertulis ‘Kerajaan Gagal’, viral dalam sekelip mata pada malam Lebaran yang lalu.
Mereka digelar berani kerana bersuara. Bahkan dipuji oleh masyarakat termasuk ahli politik. Namun, tak kurang yang mengutuk, bahkan ada yang menggelar mereka perusuh. Tangkapan demi tangkapan dibuat, seramai hampir 30 orang semuanya. Belia kita.
Saya mengikuti rapat insiden ini kerana saya mewakili sebahagian dari mereka, secara guaman percuma. Bukan menyokong apa yang berlaku, cuma setiap dari kita dipelihara haknya oleh Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan untuk diwakili peguam dalam mana-mana prosiding Mahkamah. Apabila peguam dilantik, Mahkamah akan dapat dibantu bukan sahaja bagi membolehkan siasatan dibuat dengan lebih rapi, tetapi juga hak mereka yang ditahan terpelihara. Contohnya pihak polis memohon untuk tahanan reman dilanjutkan bagi membolehkan siasatan lengkap dibuat. Namun, pihak peguam pula akan memohon kepada Mahkamah agar memberi pertimbangan tambahan bahawa reman yang terlalu panjang boleh menjejaskan kehidupan harian mereka yang ditahan, kerana ada di antara mereka merupakan pelajar, mempunyai pekerjaan dan keluarga yang perlu diurus. Siasatan masih boleh berjalan tanpa reman diteruskan, asalkan kerjasama terus diberikan kepada pihak polis.
Sehingga penulisan ini dibuat, kesemua mereka yang ditahan telah pun dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu keputusan sama ada akan dituduh atau tidak. Jangan terperanjat, antara mereka yang ditangkap hanyalah kerana disyaki mengecat kain rentang dan memegangnya. Sejak bila pula mengecat dan memegang kain rentang merupakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan?!
Dari satu sudut yang lain, keresahan masyarakat berhubung situasi negara hari ini yang bergelut dengan pandemik covid-19 dan ekonomi yang merudum, telah disuarakan menerusi insiden ini. Antara mereka yang ditahan adalah peniaga dan pekerja di bazar Ramadhan di Pt Raja. Mereka telah berbelanja besar untuk berniaga. Namun kegagalan kerajaan mengawal penularan covid-19, telah menyebabkan dua malam terakhir Ramadhan yang biasanya merupakan ‘malam meraih untung’ bagi peniaga kecil, telah ‘dilenyapkan’ dengan penetapan tempoh PKP. Situasi flip flop dalam kaedah kerajaan mengawal wabak ini, telah mendatangkan kemarahan mereka.
Ya, cara mereka mungkin tidak cukup lunak, tapi sebaiknya Kerajaan Perikatan Nasional perlu menyantuni ‘suara-suara yang tidak didendang’ ini semoleknya. Carilah punca dan leraikanlah sengketa. Dengan belia jangan dijadikan seteru. Binalah jambatan agar suara belia dapat didengari semulusnya.
Ya, ada kelemahan yang perlu diperbaiki. Ada kantong dan perut rakyat yang perlu diisi. Pasti ada solusi pada setiap halangan. Majlis Belia Malaysia bersedia menjadi tali penghubung di pertengahan. Semoga ada manfaatnya. Binalah Malaysia yang makmur, prihatin dan progresif.
Bertarikh : 27 Mei 2021