MAJLIS BELIA MALAYSIA

“INSIDEN DI LOW YATT : MEMBINA MALAYSIA YANG SEJAHTERA DAN HARMONI

KENYATAAN MEDIA

MAJLIS BELIA MALAYSIA (MBM) BERSAMA BADAN GABUNGAN MBM

“INSIDEN DI LOW YATT : MEMBINA MALAYSIA YANG SEJAHTERA DAN HARMONI

14 JULAI 2015

Sebagai badan pertubuhan yang mewakili suara belia terbesar di negara ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) merasa terpanggil untuk turut sama menyatakan pandangan dan pendirian kami berhubung insiden kekecohan yang berlaku di Plaza Low Yatt baru-baru ini.

MBM berpandangan dalam apapun keadaan, aspek kerukunan hidup berpaksikan lunas kemanusiaan yang telah kita persetujui melalui Perlembagaan Persekutuan perlu menjadi keutamaan setiap lapisan masyarakat dalam semua keadaan dan tempat. Kami generasi muda menyeru segenap pihak menghadami bait-bait 5 prinsip Rukun Negara yang telah merangkumkan keseluruhan matlamat di atas bagi menjamin kerukunan hidup bermasyarakat.

Kerukunan dalam aturan kehidupan ini juga merupakan kunci kepada matlamat dan tujuan syariah (maqasid syariah) yang menetapkan penjagaan kepada 5 perkara iaitu (Menjaga agama, nyawa, aqal, harta, dan keturunan) untuk diikuti oleh masyarakat demi kebaikan bersama.

Bagi maksud itu MBM menyeru agar segenap lapisan masyarakat harus komited terhadap usaha membina kerukunan dalam masyarakat terutamanya dalam hal urusan sesama masyarakat apatah lagi dalam masyarakat majmuk. MBM percaya, kerukunan dan persefahaman rakyat Malaysia dalam menanggani apa jua isu adalah bermula dari asas kejujuran dan sifat mempercayai antara satu sama lain.

Urusan urusniaga misalnya memerlukan kejujuran pembeli dan penjual serta etika dan adab jual beli. Sebagai peniaga, antara kriteria utama yang membuatkan pelanggan mesra dan ramah untuk melanjutkan jual beli adalah soal kejujuran peniaga dan pengurusan cemerlang dalam berurusan. Sementara itu, sebagai pembeli mereka juga harus tahu hak-hak mereka dan etika jual beli yang telah digariskan.

Adalah menjadi tanggungjawab bersama mendidik masyarakat amnya agar matang dalam menilai dan memberi respon. Dalam hal ini umpamanya, segala perkongsian maklumat menerusi whatsapps atau emel, haruslah didasarkan kepada sumber yang tepat. Sikap segelintir masyarakat yang memberi respon berdasarkan emosi semata-mata tidak memberi kesan positif kepada pembangunan perpaduan di negara ini.

Dalam pada itu MBM menghargai pasukan keselamatan yang telah melaksanakan tugas mereka bagi mengelakkan insiden ini menjadi lebih parah lagi dan menjadi institusi penting dalam hal sebegini.

Justeru, MBM ingin mengesyorkan :

  1. Penguatkuasaan harus dipertingkatkan.

Pihak berkuasa seperti polis, dan pengawal keselamatan (termasuk pihak pengurusan) bangunan yang berkenaan agar mempertingkatkan kawalan keselamatan bagi menjaga kepentingan semua pihak. Seharusnya hal sedemikian mampu di atasi di peringkat awal lagi menerusi kerjasama pihak berkuasa dan maklumbalas orang awam.

  1. MBM menggesa supaya diwujudkan “one stop kiosk” KPDNKK.

Dalam suasana perniagaan harian dan kompleks perniagaan besar, pastinya isu hak pengguna dan kualiti produk yang dibeli berlaku permasalahan yang perlu diatasi. Maka, MBM mencadangkan supaya KPDNKK mewujudkan one-stop kiosk di premis-premis besar seperti Plaza Low Yatt dan beberapa pusat membeli belah awam yang lain.

  1. Dialog Peradaban : Membina Malaysia yang Sejahtera dan Harmoni

Usaha dialog, pertemuan dan perbincangan merentas kaum dan agensi perlu dipertingkatkan sebagai asas persefahaman dan engagegment terutamanya dalam kalangan generasi muda. Generasi muda Malaysia perlu disegarkan dengan impian membina negara yang lebih sejahtera dengan persiapan tersebut pada masa kini dan di tangan mereka.

MBM percaya, dalam menghadapi situasi sukar, semua pihak tidak terburu-buru dan beremosi dalam menanganinya. MBM berkeyakinan pihak berkuasa sebagi institusi berwajib mampu menanganinya dengan baik. Dalam masa yang sama MBM yang menaungi 39 badan Gabungan Belia di negara ini merupakan platform terbaik menghimpunkan kepelbagaian kelompok bagi menyeru kepada perpaduan dan keharmonian demi membina Malaysia yang Sejahtera dan Harmoni.

Sekian, terima kasih.

AHMAD SAPARUDIN YUSUP

Setiausaha Agung

Majlis Belia Malaysia

Tarikh         : 14 Julai 2015

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »