Oleh:
Sdr. Muhamad Hanapi Jamaludin
Felo Penyelidik Majlis Belia Malaysia
Cukup kita menyelak kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2020 yang jatuh ke kedudukan 57 berbanding tangga 51 pada 2019 sebagai alasan mengabsahkan kemerosotan integriti negara semakin ketara. Ternyata daripada 180 negara, Malaysia mencatatkan skor 51 daripada 100 berbanding skor sebanyak 53 peratus pada tahun sebelumnya.
Tidak dapat dibantah bahawa rasuah adalah regu lawan kepada negara. Rasuah merosakkan demokrasi dan aturan undang-undang. Ia menyebabkan pelanggaran hak asasi manusia, mengikis kepercayaan masyarakat terhadap pemerintah dan boleh mendorong kehilangan nyawa dan masa depan. Prof Emeritus Dr Petrus Van Duyne (Tilburg Universiti), penyelidik tersohor jenayah ekonomi, penyeludupan wang dan rasuah, mentakrifkan konsep rasuah secara saintifik: “Corruption is an improbity or decay in the decision-making process in which a decision-maker consents to deviate or demands deviation from the criterion which should rule his or her decision-making, in exchange for a reward or for the promise or expectation of a reward, while these motives influencing his or her decision-making cannot be part of the justification of the decision.”
Muncul pula istilah kleptokrasi beberapa tahun sebelum PRU-14. Istilah berkenaan disedut daripada intelektual bergengsi tanah air, Prof. Syed Hussein Alatas yang membincangkan mengenai negara kleptokrasi jauh sebelum istilah ini berkumandang dengan bingitnya dalam bising-bising isu politik dalam negara yang menyaksikan perubahan kali pertama landskap sosiopolitik negara dalam tempoh lebih enam dekad. Beliau membezakan antara negara yang dipengaruhi rasuah dan negara yang dikuasai oleh rasuah. Ada perbezaan yang halus. Supaya negara ini masih boleh diselamatkan daripada terjerut ke lumpur negara kleptokrasi, lebih baik langkah menanganinya segera diambil.
Rasuah Seni yang Merosak
Kerja untuk mencapai tahap seni memerlukan suatu proses yang lama. Belum mencapai sesuatu karya seni tanpa penglibatan kemahiran yang lebih halus, sentuhan murni, kepakaran rentas disiplin dan sebagainya lagi yang boleh menjadi bahan meramukan karya. Semakin halus perasaan seorang pengkarya itu, semakin halus dan seni produk yang mereka ciptakan. Ia tentunya menuntut pelaburan masa, tenaga, kesungguhan, latihan, cuba dan salah, pengulangan sehingga menemukan sentuhan terbaik. Seseorang yang memiliki bakat terbaik sekalipun jika tidak diasah kemahirannya kelak akan tumpul. Seseorang yang tidak mempunyai hatta bakat setitik pun terhadap suatu kemahiran jika diasah akan tajam dan menikam.
Proses ini dirakamkan sebagai ibarat bagaimana perkara yang tidak sepatutnya diasah pun mampu memberikan hasil seni yang mengagumkan walaupun tinjauan daripada sudut moral ianya sangat menjijikkan. Rasuah sebagai contohnya. Diberitakan terdapat sekumpulan perasuah yang menggunakan kehalusan (baca ; kelicikan) memperdaya pembuat keputusan untuk mendapatkan kontrak kerajaan yang jumlahnya berbilion-bilion. Kerja ini telah mereka lakukan selama puluhan tahun. Bagaimana modus operandinya berlaku?
Kartel ini beroperasi dengan cara memberi rasuah kepada orang dalam untuk mendapat maklumat berhubung spesifikasi, harga siling, harga jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat dan masa sesuai untuk menghantar borang tender dan sebut harga. Info ini menjadi panduan duluan untuk merangka sebut harga. Dalam perniagaan ia dinamai sebagai “taktik ‘mengepung harga’ iaitu menyertai sesuatu tender dengan harga tertinggi dan terendah di kawal menggunakan sejumlah besar syarikat yang berada di bawah kawalan sindiket yang sama. Hasilnya, kelulusan tender berlegar di sekitar kartel berkenaan sahaja.
Kumpulan ini memang berseni. Sehinggakan kejelekan kerja mereka itu terlalu sukar dihidu. Laporan akhbar pada 5 April 2021 contohnya di Berita Harian dan Sinar Harian melaporkan mengenai kegiatan kartel rasuah yang telah beroperasi sejak 2014 dan telah memenangi tender kerajaan hampir 3.8 billion dengan hanya menukar-nukar ‘baju’ sahaja.
Mereka mendaftar ratusan syarikat di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Penama bagi setiap syarikat berkenaan pula digunakan daripada kenalan dan rakan-rakan untuk mengelakkannya mudah dihidu. Setiap penama diberikan saguhati untuk menggunakan nama mereka. Bayaran yang diperoleh hanya atas angin, tidak perlu lakukan kerja, cukup letak nama dan sanggup diperguna.
Ketua sindiket ini memiliki kepakaran untuk membida kontrak kerajaan. Suapan info yang mereka perolehi datangnya daripada kakitangan kerajaan yang memegang akses harga siling, harga tawaran tutup, serta syarat-syarat pemudah untuk mendapatkan kontrak. Penetapan harga di-‘cong’ pada setiap sebut harga menggunakan nama syarikat yang pelbagai. Ini contoh terpilih bagaimana membarahnya rasuah sehingga ianya diasah menjadi seni untuk memperdaya dan membolot kekayaan negara dikalangan beberapa perut sahaja.
Sabotaj Ekonomi
Bayangkan peruntukan yang sepatutnya harus membangunkan rakyat akhirnya disabotaj oleh sesetengah kelompok sahaja. Cairan tunai dan kekayaan nampaknya berlegar dikalangan tangan-tangan perasuah. Kelompok pengguna dan penerima manfaat terakhir iaitu rakyat B40 atau M40 tidak menerima bahkan sedikit sekali. Kitaran kemiskinan akan terus kekal untuk beberapa lapisan generasi dan waktunya jika gejala tidak bermoral ini terus dipertahankan, membudaya dalam masyarakat perdagangan. Tetapi, kita harus melihat juga bahawa akar permasalahan ini selain masalah sistemik yang membenarkan rasuah berleluasa oleh kepentingan pembuatan keputusan dan pentender. Golongan pertama terdiri daripada ahli politik, penguasa punca kuasa yang tentunya mengharapkan situasi menang-menang berlaku. Mereka punyai wewenang melulus dan menganugerahkan tender, tentunya memiliki kecenderungan untuk menganugerah kepada kumpulan yang dapat memberi pulangan kepadanya dalam bentuk ‘hadiah’, honorium atau apa sahaja istilahnya. Wang itu digunakan untuk membiayai kelangsungan pergerakan politik mereka yang tentunya perlu disara untuk melincirkan jentera, mendapat sokongan, menakluk pengundi.
Beberapa Saranan
Masalah sistemik harus ditangani oleh kekuasaan – dengan tangan. Penguatkuasaan undang-undang terhadap pelaku rasuah ditingkatkan, walaupun seni kelicikan tetap juga memunculkan kemahirannya. Beberapa inisiatif telah diambil seperti tempoh ‘kuarantin’ dikenakan terhadap pegawai pengawal kementerian, lantikan politik tidak dibenarkan menduduki kerusi dalam mesyuarat Jawatankuasa Kelulusan Tender Kerajaan serta lainnya, namun keadaan ini masih tidak berjaya membendung. Justeru, kita perlu kembali menyemak dan bergerak untuk menetapkan suatu revolusi besar-besaran melalui kesedaran dhamir. Pendekatan spiritual tidak boleh menjadi nombor dua, ia tetap yang pertama ditegakkan sebagai pengawal terdepan yang membentengi kecurangan manusia.
Rasuah Busters yang dilancarkan pada 16 Januari lalu oleh Sinar Harian harus disambut. Segala usaha justeru wajib digembleng. Pengukuhan kembali sistem kepercayaan sebagai kompas moral titik perubahan penting. Program seperti “Mak Kata Jangan!” mengambil titik lunak (soft point) menjentik hati manusia untuk mengelak daripada normalisasi rasuah.
Kelompok belia sebagai tulang belakang dan penengah dalam strata sosial, yang menjadi gam (glue) antara dua generasi sebelum dan di atas mereka telah menyambut dan memberikan komitmen besar terhadap keseriusan menggempur rasuah ke akar umbinya.
Gabungan Belia Rasuah Busters yang dilancarkan pada 27 Februari 2021 merupakan satu gerakan bebas melibatkan lebih daripada 67 kumpulan belia di seluruh negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Penglibatan kumpulan majmuk daripada kalangan para pemimpin belia yang mempunyai pengaruh luas dalam kalangan ahli-ahli mereka menjadi isyarat gelombang baharu dengan satu kepentingan bersama untuk kembali mengatur semula (reset) sistem sosiopolitik dalam negara yang telah selama ini compang-camping ditebuk tikus-tikus rasuah. Kita tidak boleh lagi menyerahkan labu untuk dibaii oleh tikus. Angkatan baru yang tiada beban politik (political baggage) diharapkan dapat menjadi barisan memulakan gerakan ini dengan tekad yang satu – perdamaian nasional memerangi rasuah.
Iltizam ini turut mendapat sambutan yang mengujakan hari ini apabila pemimpin-pemimpin tertinggi sayap pemuda parti politik tanah air berkumpul untuk merayakan peluncuran Gabungan Belia Rasuah Busters. Tentunya diharapkan mereka ini sebagai ketumbukan barisan pemimpin masa depan samada di blok kerajaan atau pembangkang dapat meneruskan agenda kerajaan terdahulu dan kerajaan sekarang untuk memastikan kewujudan rang undang-undang dana politik. Langkah ini berupaya menjadi penampan kepada politik wang yang masih berleluasa semasa pilihanraya. Bagi memastikan integriti dijamin dalam sektor pemegang amanah rakyat, pemakluman terperinci mengenai butiran projek-projek mega, pengoptimuman menyeluruh Parlimen sebagai mekanisme semak dan imbang, mengekang lantikan politik yang melampau, amalan scheme of things wajar ditegakkan. Tekad ini tidak akan terlaksana tanpa kemahuan politik menjayakannya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini melaporkan 55 peratus daripada 1,902 tangkapan rasuah sejak 2013 di Malaysia terdiri daripada golongan belia berusia 40 tahun ke bawah. Mengapa tidak ini menjadi kerisauan kepada kita. Belia adalah angkatan yang akan mengisi segmen-segmen utama pembangunan negara. Jika seawal ini mereka telah diherotkan oleh kleptokrasi, sukar untuk kepercayaan yang rosak mendapat kembali tempatnya pada masa akan datang. Integriti itu amanah. Apabila ia bocor, sukar untuk menampalnya. Jika dapat sekalipun, tentu sukar untuk membersihkan kesan dan bekasnya yang masih melekat pada tangan pelakunya walaupun telah dijahit dengan baju baru.
Menutup rencana ini, penulis ingin berkongsi data-data penting yang dikutip daripada Buku Kecil (booklet) Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 terbitan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, 5 Oktober 2019. Sebanyak RM 1.1 Trilion Perolehan Kerajaan untuk pembangunan bekalan dan perkhidmatan selama 20 tahun daripada RMK-7 hingga ke RMK-10. Manakala, lebih 50% daripada jumlah itu dianggarkan kontraknya telah dianugerahkan kepada golongan Bumiputera. Namun, hanya kurang 9% sumbangan PKS Bumiputera direkodkan pada tahun 2015.
Tidak syak lagi, rasuah telah merompak, menceroboh dan mensabotaj ekonomi negara. Dokumen itu kemudian menyebutkan “Rasuah dan salah guna kuasa telah menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Khusus untuk bumiputera – kesan rasuah telah menyebabkan agenda Bumiputera telah dibelenggu oleh amalan pemesongan pengagihan dalam rantaian bekalan daripada tujuan asalnya untuk memperbaiki keadaan ekonomi bumiputera”
Justeru, jangan bertanya jika sampel ini dijadikan rujukan. Pemilikan ekonomi bumiputera sebagai demografik terbesar yang menjadi pentakrif menentukan kemakmuran negara dan kesejahteraan bangsa Malaysia akan terus kekal dalam kitaran yang sama selagi rasuah tidak diperangi. Kesepaduan sosial hanyalah menjadi cita-cita yang palsu belaka.
Belia bangkit, gempur rasuah!
Bertarikh : 26 April 2021