Oleh Mohamed Maliki Mohamed Rapiee
UMAT Islam baru saja menyambut Aidiladha. Bersempena perayaan ini umat Islam yang berkemampuan akan menumpukan kepada ibadah korban yang kebiasaannya dilakukan pada hari tasyrik iaitu pada 11 hingga 13 Zulhijah.
Sebagai umat Islam kita harus memahami bahawa makna pengorbanan amat penting dalam proses pembangunan diri, masyarakat dan negara. Walaupun ibadah korban tidak dimasukkan ke dalam kategori ibadah wajib, namun individu yang bersedia melakukan ibadah korban sebenarnya meletakkan dirinya pada tahap lebih unggul dan mulia berbanding orang lain.
Untuk melaksanakan ibadah ini ia harus dimulakan dengan hati yang ikhlas dan persediaan sumber kewangan halal. Maknanya, ibadah korban mengajar kita agar mencari kesempurnaan dalam kehidupan. Kehidupan unggul dan cemerlang bukan sekadar kejayaan kita memaparkan imej hebat dengan kekayaan, rumah besar, kereta mahal dan pangkat yang tinggi. Sebaliknya, dinilai pada setiap inci serta sudut kehidupan lampau hingga sekarang.
Sebagai contoh, kekayaan yang diraih melalui jalan pintas serta rasuah tidak punyai sebarang makna dalam agama Islam. Malah, harta tersebut tidak layak digunakan sebagai sedekah jariah apatah lagi untuk dijadikan modal menunaikan ibadah rukun seperti membayar zakat dan menunaikan fardu haji. Justeru, anak muda harus menghayati ibadah korban dengan penuh mendalam. Semua yang kita nikmati dan miliki kini adalah hasil pengorbanan orang sekeliling kita yang terdahulu.
Buah ranum kehidupan yang kita petik dan makan hari ini sudah pasti hasil pengorbanan orang terdahulu yang sanggup berkorban mencari benih terbaik dan memilih tanah subur untuk menanamnya. Seterusnya ia pasti tidak akan mampu hidup subur untuk mengeluarkan bunga dan berbuah lebat sekiranya tidak ada orang yang sanggup membanting tulang dan mengerah keringat untuk menjaga, menyiram dan membaja.
Falsafah dan metafora ini amat jelas dan sesuai untuk kita memahami akan setiap pengorbanan besar yang dituntut bagi menjaga dan membela kehidupan pada setiap peringkat sama ada institusi keluarga, masyarakat kampung, organisasi awam, swasta atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), malah sebuah negara.
Kata kunci kepada makna pengorbanan ini adalah nilai kesukarelawanan yang mesti ada pada setiap pelakunya. Nilai kesukarelawanan akan memacu setiap hati dan fikiran seseorang individu untuk melakukan perkara positif demi kepentingan orang lain.
Kemanisan terhadap makna kesukarelawanan akan mendorong seseorang mengeluarkan wang ringgit serta tenaga tanpa rasa berat hati. Mereka adalah manusia yang bersedia berkongsi kesenangan dengan insan lain yang mungkin langsung tidak dikenalinya.
Manusia yang tidak punyai fahaman kesukarelawanan akan bersifat kedekut, terlalu berkira dan sentiasa berasa takjub dengan sedikit kebaikan yang dilakukan. Sukarelawan tulen akan menyumbang dan memberi tanpa syarat. Sukarelawan palsu atau ‘jadi-jadian’ akan memilih kelompok atau kumpulan yang dirasakan akan mampu memberi pulangan nama serta pengaruh dan puji-pujian melalui sumbangannya itu.
Sebab itulah kita diajar satu nilai besar yang amat unggul dalam kehidupan ini iaitu sifat ikhlas. Sifat ikhlas akan menjadikan individu bersikap sederhana dan tidak menunjuk-nunjuk. Malah, ada kata-kata bahawa ikhlas itu adalah seumpama seekor semut hitam yang berjalan di atas batu hitam.
Bermakna hasil kerja kesukarelawanan harus sentiasa wujud, tetapi tidak perlulah dijadikan paparan sehingga mencapai kemegahan dan kesombongan.
Golongan belia dan pemimpin belia harus meningkatkan kefahaman kesukarelawanan serta mendalami makna pengorbanan dengan melihat kesanggupan tokoh terdahulu. Kita harus sentiasa mencabar diri agar lebih mampu menyumbang berbanding orang lain.
Penulis sentiasa teringat kata-kata Profesor Datuk Kamarudin Hussin, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkaitan pembabitan beliau dalam kerja sosial serta kebajikan sejak bergelar pensyarah biasa di Universiti Sains Malaysia (USM).
Beliau sanggup memandu sendirian ratusan kilometer selepas kuliah untuk memberi ceramah motivasi kepada belia di sebuah kem di kawasan pedalaman negeri Perak. Sewaktu kenderaan yang dipandu mendekati kawasan perumahan beliau di Batu Gajah, Kamarudin memberitahu penulis: “Lihat di sana Maliki, pasti jiran tetangga saya sedang tidur lena. Biarlah saya sedikit letih dan kurang tidur, asalkan jiran dan masyarakat saya dapat tidur lena dan boleh bangun pagi esok dengan gembira. Apa yang kita lakukan hari ini adalah untuk mereka. Kalau mereka hidup tidak tenteram, maka kita juga yang susah nanti.” Sesungguhnya ibadah korban ini menuntut seribu pengertian buat pemimpin kerdil seperti kita agar sentiasa meningkatkan sumbangan dan pengorbanan kepada agama, bangsa dan negara.
Penulis Presiden MBM berkelulusan Sarjana Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) USM