MELAKA 10 Dis. – Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron mengekalkan jawatan Presiden Pertubuhan Belia Dunia (WAY) buat penggal kedua apabila menang tanpa bertanding pada persidangan ke-16 pertubuhan itu di Tirana, Albania hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Tan Sri Mohd. Ali Rustam mengumumkan kemenangan Idris selaku Presiden WAY buat penggal 2014-2018 selepas pencabarnya, Prosper Hoetu dari Ghana tidak hadir menyebabkannya hilang kelayakan untuk bertanding.
Kemenangan itu menjadikan Idris sebagai pemimpin kedua dari Malaysia selepas Mohd. Ali menerajui WAY yang mempunyai 120 negara anggota.
Mengulas mengenai kejayaan tersebut, Idris mengucapkan terima kasih kepada semua perwakilan kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk terus menerajui WAY buat penggal akan datang.
Menurutnya, kemenangan itu membuktikan kepercayaan yang disandarkan oleh seluruh anggota pertubuhan untuk beliau terus memperukuhkan kedudukan WAY di persada dunia sangat tinggi.
“Ini adalah satu tanggungjawab besar yang harus saya pikul dan tanpa sokongan daripada golongan belia, segala perancangan pembangunan belia tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna.
“Sudah tiba masanya seluruh anggota WAY bangun bagi menegakkan keamanan sejagat sambil melihat corak kehidupan yang aman dan selamat,” katanya.
Perhimpunan yang berlangsung selama lima hari bermula Ahad lalu membabitkan 700 peserta dari 81 negara itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Albania, Edi Rama.
Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Warisan negeri, Datuk Norpipah Abdol; Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin; Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohamed Maliki Mohamed Rapiee dan bekas Presiden WAY, Ole L Simonsen.
Idris yang juga bekas Timbalan Presiden MBM dan Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) berkata, WAY akan meneruskan misi sebagai sebuah organisasi yang boleh diakses oleh semua lapisan belia seluruh dunia.
“Saya percaya semangat itu masih lagi diteruskan sehingga hari ini iaitu sebagai sebuah badan dunia yang menggalakkan keamanan di atas segala-galanya.
“Untuk mencapai matlamat global yang selamat, aman dan makmur, generasi muda perlu menolak sebarang unsur ekstrem dalam kehidupan,” katanya.
Mengambil iktibar saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, 28 September lalu agar memilih kesederhanaan dan menolak ekstremisme dalam usaha menggalakkan keamanan serta keharmonian antarabangsa, beliau turut membayangkan beberapa agenda untuk diselesaikan secara bersama demi kebaikan belia sejagat.
Sementara itu, Mohd. Ali ketika diminta mengulas mengenai kemenangan Idris berkata, kejayaan diperoleh menunjukkan sokongan warga belia dunia terhadap Malaysia yang dikenali berkeupayaan menerajui WAY berdasarkan rekod baik.
“Keupayaan kita menerajui WAY diakui berdasarkan kewibawaan kita dalam kegiatan dan pergerakan belia.
“Pada perhimpunan kali, saya lihat banyak perkara berkaitan soladariti dibangkitkan oleh golongan belia dan percaya selepas ini, Idris akan dapat membawa mesej yang lebih kuat untuk keamanan dunia,” katanya.
– See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/idris-kekal-presiden-way-menang-tanpa-bertanding-1.35100#sthash.SMa5wJGY.dpuf