Putrajaya, 21 Nov – Malaysia akan terus memberi penekanan penting kepada pembangunan belia di negara ini untuk mempamerkan kreativiti mereka dalam kemahiran keusahawanan.
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, YBhg Dato’ Lokman Hakim Ali berkata “untuk mencapai matlamat ini, kementerian berusaha untuk meletakkan asas bagi pembangunan belia yang berkesan seperti yang digariskan dalam pelan strategik pembangunan belia”.
Beliau menambah, kementerian telah melaksanakan beberapa program untuk menyokong dan memperkasakan belia Malaysia dengan kerjasama pertubuhan belia sebagaimana penganjuran Islamic Countries Youth Entrepreneurship Network 2017 (ICYEN) pada hari ini.
“Saya yakin belia dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mempunyai keupayaan untuk membangunkan inovasi bukan sahaja untuk tujuan perniagaan tetapi untuk kebaikan masyarakat global seluruhnya,” katanya pada penutupan ICYEN di Putrajaya Lake Cruise di sini hari ini.
Lokman menambah pengembangan rakan kongsi perdagangan dan keusahawanan melalui jaringan OIC ini akan menghasilkan tenaga kerja yang berkualiti, cekap dan inovatif dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk belia dari negara-negara Malaysia dan OIC.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pitching competition sempena ICYEN Workshop.
Terdahulu, pada sebelah pagi telah berlangsung Islamic Countries Youth Entrepreneurship Network 2017 (ICYEN) anjuran MBM dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan serta Islamic Conference Youth Forum for Dialogue and Cooperation (ICYF-DC) di MAGIC, Cyberjaya dengan tema “Innovation Means Employment Towards National Transformation 2050 (TN50)”. Pada sebelah petang pula sesi Perkongsian Pengalaman oleh Ikon Usahawa yang terdiri daripada Khairul Mazwan (Juan), Manager MaGIC, Nicole, Co-founder, Homemade Market, Arief Imran, CEO, SERV dan Hariz Badrulhisham, Playmaker, Golazo Football. Disamping itu juga serentak berlangsung sesi pembentangan Pitch Projek dan turut diadakan pameran-pameran oleh peserta Pitching.
Bengkel ini bertujuan menggabungkan budaya perniagaan dan idea baru mengenai pembangunan belia di antara negara-negara OIC dan asia tenggara. Program ini mewujudkan peluang pekerjaan belia kepada semua pihak untuk berinteraksi dan berkongsi pengalaman dan pandangan mereka terhadap masa depan pembangunan belia global.