KUALA LUMPUR 13 Oktober – Majlis Belia Malaysia (MBM) hari ini telah menyertai Himpunan Solidariti untuk Palestin selepas solat Jumaat bertempat di Masjid Negara di sini.
Naib Presiden MBM, Sdr. Mohamed Khairul Azman Abdul Aziz diberi kesempatan berucap mewakili NGO belia di hadapan ribuan jemaah bagi menentang kezaliman rejim Israel ke atas rakyat Palestin.
“Isu Palestin bukan isu agama dan negara semata-mata, tetapi lebih kepada isu kemanusiaan sejagat. Dunia menyaksikan sejak pendudukan Israel jutaan nyawa rakyat Palestin sudah terkorban”.
Perhimpunan bagi menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada rakyat Palestin ini menghimpunkan parti kerajaan dan pembangkang di pentas yang sama dalam mengutuk serangan Israel ke atas Palestin.
Antara pemimpin parti politik yang hadir ialah Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden PAS, YB Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden Amanah, YB Mohamad Sabu; Ketua Pemuda UMNO, YB Dr. Akmal Saleh; Ketua Pemuda PKR, YB Adam Adli Abdul Halim; Ketua Pemuda DAPSY, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen; Ketua Pemuda Perikatan Nasional, YB Ahmad Fadhli Shaari serta beberapa pemimpin NGO yang lain.
Himpunan ini mesej jelas Malaysia menentang pencabulan hak asasi manusia di Palestin malah apa yang dilakukan ke atas rakyat Palestin oleh Israel wajar dibela dan diberikan sokongan masyarakat dunia!