PUTRAJAYA 28 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, program Himpunan Sejuta Belia sempena sambutan Hari Belia Negara 2011 sudah mencapai objektif apabila pengunjung yang hadir sudah melepasi sasaran sejuta orang dalam tempoh dua hari.
Beliau melahirkan penghargaan dan berbangga dengan kejayaan program tiga hari itu yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Belia Malaysia (MBM), pertubuhan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan sektor swasta.
”Saya berpeluang menyaksikan sendiri kehadiran sejumlah pengunjung yang agak besar, saya dimaklumkan sasaran sejuta beliau sudah tercapai. Di sini saya merasakan denyut nadi dan jantung belia Malaysia yang berhimpun di Putrajaya.
”Mereka mempamerkan aksi yang pelbagai, ada yang menunjukkan kemahiran dan kebijaksanaan dalam bidang-bidang diminati termasuk sukan dan muzik,” katanya selepas melawat sebahagian daripada 200 gerai pameran, pertandingan rentap futsal, aksi sukan lasak sasuke dan pelbagai aktiviti belia pada program Himpunan Sejuta Belia, di sini hari ini.
Beliau menyifatkan penganjuran terbesar itu sebagai satu persembahan luar biasa yang tidak konvensional, namun berjaya menunjukkan pengiktirafan Malaysia kepada golongan belia.
Muhyiddin berkata, konsep baru yang mencakupi semua bidang aspek pembangunan negara dapat dilihat menerusi pameran-pameran kerana ia amat berkesan untuk diteruskan pada masa akan datang.
”Saya sendiri melihat keghairahan sekecil-kecil anak dari sekolah rendah, belia dan sampailah yang lebih dewasa menyertai program ini, minat mereka sangat tinggi, ia mesti diteruskan dengan jumlah penyertaan lebih ramai,” katanya.
Beliau memuji semangat kesukarelaan yang ditunjukkan oleh para belia dari seluruh negara kerana sanggup datang atas inisiatif sendiri walaupun penganjur tidak menyediakan sebarang kemudahan logistik.
Sebaliknya, ujar beliau, mereka menyediakan khemah, mencari lokasi sesuai dan menguruskan pasukan sendiri.
”Ia dapat menjimatkan wang kerajaan yang kebiasaannya terpaksa menanggung perbelanjaan pengurusan yang amat besar. Bagi saya ini pencapaian yang boleh kita banggakan kerana peruntukan kerajaan amat kecil memandangkan sebahagian besar perbelanjaan ditanggung oleh penaja dan swasta,” katanya