Secara prinsip, rakyat mempunyai hak dan kebebasan untuk bersuara khususnya berkaitan isu rakyat dan masa depan Negara sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan Malaysia namun sudah tentu ia mempunyai batasan dan etika.
Majlis Belia Malaysia (MBM) suka menyarankan bahawa segala keluhan, keprihatinan, cadangan mahupun teguran terhadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong wajar dibuat dengan menggunakan saluran rasmi yang lebih beradab, bijaksana dan menggambarkan keluhuran akhlak rakyat Malaysia yang mempunyai budaya tamadun tinggi berteraskan Rukun Negara.
MBM menaruh kepercayaan yang tinggi bahawasanya Tuanku YDPA adalah pemimpin yang mendengar, empati dan memahami apatah lagi tatkala rakyat berada dalam situasi sukar dan kesempitan dek bahana Covid-19 dan kemelesetan ekonomi yang perlu disantuni dan dibantu segera.
Marilah sama-sama kita bugarkan prinsip dan semangat Rukunegara demi melihat Malaysia yang lebih gemilang. Kita semarakkan agenda Raja dan Belia berpisah tiada.
Daulat Tuanku!
Hidup Rakyat!
Menggerak Belia!
JUFITRI JOHA
Presiden
Majlis Belia Malaysia
Bertarikh : 31 Mei 2021