Oleh:
Eow Shiang Yen
Ahli Jawatankuasa Kerja Majlis Belia Malaysia
Insiden berkaitan kegiatan mahasiswa kebelakangan ini perlu mendorong kita menilai semula bukan sahaja sesuatu kejadian secara terasing, tetapi juga budaya yang telah lama dinormalisasikan atas nama disiplin, ketahanan, senioriti dan pembinaan semangat berpasukan.
Persoalannya bukan sama ada mahasiswa perlu didedahkan kepada cabaran. Cabaran, kerja berpasukan dan aktiviti luar sememangnya mempunyai nilai dalam pengalaman universiti. Persoalannya ialah: pada titik manakah cabaran bertukar menjadi pendedahan kepada bahaya yang tidak perlu, disiplin bertukar menjadi intimidasi, dan pembinaan daya tahan bertukar menjadi alasan untuk mengabaikan keselamatan, maruah serta kesejahteraan mahasiswa?
Insiden yang sepatutnya menjadi amaran
Kita telah melihat beberapa insiden serius yang menunjukkan bahawa persoalan keselamatan dalam kegiatan pelajar bukanlah sesuatu yang hipotetikal.
Pada April 2026, dua pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Perlis, Christopher Ling Jia Siang, 21 tahun, dan Joey Ling Lin Siang, 20 tahun, meninggal dunia ketika menyertai Program Pendidikan Luar Kampus yang melibatkan aktiviti berkayak di Pantai Merdeka, Kedah. Tragedi tersebut kemudiannya mendorong Kementerian Pendidikan mengarahkan semua IPG menghentikan sementara aktiviti lasak dan aktiviti air.
Insiden tersebut turut membangkitkan persoalan mengenai pengurusan risiko. Maritim Malaysia dilaporkan tidak menerima makluman awal mengenai penganjuran program berkenaan dan menekankan kepentingan penilaian risiko, pemantauan cuaca dan arus serta kesiapsiagaan keselamatan bagi aktiviti di perairan terbuka.
Malah, tragedi tersebut bukan satu-satunya insiden melibatkan kegiatan luar pelajar IPG. Pada November 2025, dua pelajar IPG Kampus Dato’ Razali Ismail, masing-masing berusia 19 tahun, meninggal dunia di Sungai Pelong, Setiu. Kedua-duanya merupakan sebahagian daripada 24 pelajar IPG yang sedang menjalankan program di kawasan sungai berkenaan. Menurut siasatan awal polis, seorang mangsa dipercayai tergelincir sebelum rakannya cuba menyelamatkannya, namun kedua-duanya lemas.
Pada September 2026 pula, seorang mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) berusia 21 tahun meninggal dunia manakala beberapa peserta lain memerlukan rawatan hospital selepas mengalami masalah kesihatan ketika menyertai Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 di UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka. Pemeriksaan awal mendapati peserta mengalami masalah berkaitan haba, manakala Jabatan Kesihatan Negeri Pahang kemudiannya menjalankan siasatan lanjut terhadap faktor persekitaran, pelaksanaan aktiviti, keadaan cuaca dan faktor berkaitan.
Kes-kes ini tidak bermaksud bahawa semua aktiviti luar atau lasak perlu dihentikan. Pendidikan luar, kerja berpasukan dan cabaran fizikal mempunyai nilai tersendiri. Namun, kita perlu membezakan antara risiko yang mempunyai tujuan pendidikan dan diurus dengan baik dengan risiko yang sebenarnya boleh dielakkan.
Analisis risiko, kesesuaian lokasi dan aktiviti, keadaan cuaca, akses kepada air dan rehat, kelengkapan keselamatan, tahap kecergasan dan kesiapsiagaan peserta, keupayaan penyelia serta pelan tindakan kecemasan tidak boleh menjadi perkara sampingan. Semuanya perlu menjadi sebahagian daripada reka bentuk program sejak awal.
Kita juga tidak boleh membincangkan budaya senioriti dan kepatuhan tanpa mengambil iktibar daripada insiden buli yang berlaku dalam institusi pendidikan tinggi. Pada 2024, seorang kadet Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berusia 19 tahun dilaporkan mengalami keretakan tulang rusuk dan kecederaan tulang belakang selepas didakwa dipijak oleh seorang senior. Dalam satu lagi kes, seorang kadet 22 tahun didakwa mencederakan juniornya menggunakan seterika wap panas.
Kes-kes tersebut mengingatkan kita kepada tragedi Zulfarhan Osman Zulkarnain, yang meninggal dunia pada 2017 selepas didera oleh rakan-rakan sekampus.
Tidak semua kes ini berlaku dalam program orientasi dan tidak wajar kita menggambarkannya sedemikian. Namun, kesemuanya memberikan satu peringatan lebih besar tentang risiko yang boleh timbul apabila hierarki, senioriti, kepatuhan, tekanan dan kekerasan mula diterima sebagai sebahagian daripada proses “membentuk” seseorang mahasiswa.
Kita tidak seharusnya menunggu sehingga berlaku kecederaan serius atau kehilangan nyawa sebelum sesuatu budaya dinilai semula.
Disiplin tidak sama dengan ketakutan
Budaya autoriti dan ketakutan tidak seharusnya dianggap sebagai kaedah yang wajar untuk membentuk disiplin atau daya tahan mahasiswa.
Ugutan, makian, herdikan, perlian, intimidasi, buli, hukuman fizikal atau psikologi dan tindakan yang boleh menyebabkan kecederaan bukanlah prasyarat untuk membentuk mahasiswa yang berdisiplin.
Begitu juga dengan aktiviti yang memerlukan mahasiswa berjaga sehingga lewat malam atau bangun terlalu awal tanpa rehat yang mencukupi. Kekurangan tidur bukan ukuran ketahanan seseorang. Jadual orientasi yang terlalu ekstrem boleh mengganggu ritma sirkadian, pemulihan fizikal, tumpuan, prestasi kognitif dan kesejahteraan mental, terutama apabila digabungkan dengan aktiviti fizikal yang intensif.
Pembinaan daya tahan seharusnya mengajar mahasiswa bagaimana menghadapi cabaran dengan baik, bukannya mengajar mereka menerima penderitaan yang sebenarnya boleh dielakkan.
Lebih membimbangkan apabila sesuatu amalan dipertahankan dengan alasan bahawa “dulu kami pun kena”. Pengalaman terdahulu yang tidak sihat tidak menjadi lebih betul hanya kerana ia diwariskan kepada generasi seterusnya.
Kita juga tidak seharusnya menormalisasikan kandungan atau pendekatan orientasi yang menzahirkan unsur feudalisme, superioriti senior terhadap junior dan kepatuhan tanpa soal. Tradisi tidak boleh mengatasi maruah, kesihatan dan keselamatan mahasiswa.
Apabila kepatuhan dikaitkan dengan tempat tinggal dan penerimaan sosial
Terdapat satu lagi dimensi yang perlu diberikan perhatian: apakah mahasiswa benar-benar mempunyai pilihan untuk tidak mematuhi sesuatu arahan?
Dalam sesetengah persekitaran kolej kediaman, wujud persepsi atau dakwaan bahawa tahap penyertaan, prestasi atau kepatuhan mahasiswa dalam kegiatan tertentu boleh mempengaruhi peluang mereka untuk terus mendapat tempat di kolej pada tahun berikutnya. Ada juga mahasiswa yang mungkin bimbang bahawa keengganan untuk mengikuti sesuatu aktiviti atau membuat laporan akan mengakibatkan tindakan tidak adil terhadap mereka pada masa yang akan datang.
Di samping tekanan formal atau separa formal seperti merit, terdapat pula bentuk tekanan sosial yang lebih sukar dilihat. Mahasiswa boleh berdepan ancaman untuk dipulaukan, tidak diberikan kerjasama, disisihkan daripada kelompok atau dikenakan apa yang boleh digambarkan sebagai “keganasan dingin” apabila dianggap tidak memberikan kerjasama.
Dalam keadaan seperti ini, kita perlu mempersoalkan sama ada sesuatu penyertaan masih boleh dianggap benar-benar sukarela.
Jika mahasiswa percaya bahawa berkata “tidak” boleh menjejaskan tempat tinggal mereka, merit mereka, hubungan dengan senior atau penerimaan mereka dalam komuniti kolej, maka ketidakseimbangan kuasa sudah wujud. Persetujuan yang diberikan kerana takut kehilangan sesuatu yang penting bukanlah bentuk penyertaan yang sihat.
Ini lebih serius bagi mahasiswa baharu. Mereka baru memasuki alam universiti, belum memahami sepenuhnya struktur pentadbiran, tidak mengetahui batas kuasa seseorang senior atau pemudah cara, dan mungkin belum tahu saluran yang boleh digunakan sekiranya mereka berasa terancam. Dalam keadaan sebegini, mereka berada pada kedudukan yang lebih rentan terhadap manipulasi.
Kita perlu bertanya: mengapa pembinaan jati diri perlu dimulakan dengan merendahkan jati diri seseorang?
Mengapa mahasiswa perlu dihina untuk membina keyakinan? Mengapa mereka perlu diletakkan dalam keadaan rentan untuk membina ketahanan? Mengapa rasa superioriti perlu diwujudkan antara senior dengan junior untuk membina rasa kepunyaan?
Jika matlamat pendidikan tinggi ialah melahirkan mahasiswa yang berfikiran kritis, berkeyakinan, bertanggungjawab dan mempunyai jati diri, maka budaya kepatuhan yang dibentuk melalui ketakutan sebenarnya bergerak ke arah yang bertentangan.
Universiti sepatutnya menjadi ruang mahasiswa belajar membuat pertimbangan, menyatakan pandangan, menetapkan batas yang munasabah dan mengambil tanggungjawab terhadap keputusan mereka. Kita tidak seharusnya memulakan pengalaman universiti dengan mengajar mereka bahawa keselamatan sosial dan masa depan mereka dalam kolej bergantung kepada sejauh mana mereka sanggup akur kepada kehendak orang yang mempunyai lebih kuasa.
Kembalikan orientasi kepada tujuan sebenarnya
Orientasi seharusnya menjadi pintu masuk mahasiswa kepada kehidupan universiti.
Tempohnya mungkin hanya beberapa hari atau minggu berbanding beberapa tahun pengajian, tetapi pengalaman awal ini menyediakan asas kepada bagaimana seseorang mahasiswa melihat institusi, rakan-rakan dan kedudukan mereka dalam komuniti kampus.
Di peringkat universiti, mahasiswa perlu diperkenalkan kepada ekosistem, misi, visi, nilai, perkhidmatan, pentadbiran dan peluang yang tersedia.
Di peringkat fakulti, mereka perlu memahami struktur pengajian, fasiliti, sokongan akademik dan sumber yang dapat membantu perjalanan pembelajaran mereka.
Di peringkat kolej kediaman, mahasiswa perlu memahami peraturan dan tanggungjawab sebagai penghuni. Namun, matlamatnya bukan sekadar memastikan mereka mematuhi peraturan. Orientasi perlu membina budaya saling mempercayai, rasa kepunyaan dan tanggungjawab bersama terhadap komuniti kediaman.
Usaha pemudah cara untuk menggalakkan integrasi, kerja berpasukan dan pembentukan persahabatan sememangnya perlu dihargai. Aktiviti berkumpulan dan cabaran fizikal yang munasabah masih mempunyai tempat dalam orientasi. Yang perlu ditolak ialah apabila aktiviti tersebut berubah menjadi medium untuk menguji kepatuhan, mempermalukan peserta atau mewujudkan hubungan kuasa yang tidak sihat antara senior dengan junior.
Orientasi juga harus membantu mahasiswa memahami hubungan dua hala: bagaimana universiti membantu mahasiswa, dan bagaimana mahasiswa pula boleh membantu serta menyumbang kepada universiti.
Orientasi ialah proses penyesuaian, bukan penundukan
Mahasiswa baharu datang daripada latar belakang keluarga, negeri, etnik, bahasa, sosioekonomi, pendidikan dan pengalaman hidup yang berbeza. Bagi sesetengah mahasiswa, ini mungkin kali pertama mereka tinggal jauh daripada keluarga dan perlu menyesuaikan diri dengan persekitaran, rakan sebilik, sistem akademik serta tahap kebebasan yang baharu.
Maka, orientasi sepatutnya membantu proses asimilasi dan penyesuaian ini. Kandungan sepatutnya memupuk persahabatan, menghayati perbezaan, merentasi halangan sosial dan membentuk rasa kebersamaan.
Ia tidak sepatutnya menjadi ruang untuk intimidasi, buli, perlian atau program yang terlalu ekstrem dan tidak mempunyai hubungan jelas dengan tujuan orientasi.
Satu ujian mudah boleh digunakan apabila merancang sesuatu aktiviti:
Apakah hasil pembelajaran yang ingin dicapai melalui aktiviti ini?
Jika sesuatu aktiviti tidak membantu mahasiswa mengenali universiti, menyesuaikan diri, membina hubungan, bekerjasama, memahami tanggungjawab atau berkembang sebagai anggota komuniti kampus, kita perlu bertanya mengapa aktiviti tersebut perlu diwajibkan.
“Generasi sekarang terlalu dilindungi”?
Komentar seperti ini mungkin menimbulkan rasa kurang senang. Akan ada yang berhujah bahawa generasi mahasiswa hari ini terlalu dilindungi, bahawa pengalaman sukar merupakan sebahagian daripada tradisi universiti, atau bahawa ketegasan diperlukan untuk membina disiplin, jati diri, daya tahan dan kepatuhan terhadap peraturan.
Ada juga yang mengenang pengalaman orientasi yang keras sebagai kenangan bermakna yang akhirnya membentuk persahabatan, identiti kumpulan dan asas kehidupan kampus yang kukuh.
Pandangan tersebut tidak semestinya perlu ditolak sepenuhnya. Disiplin, jati diri, daya tahan, semangat berpasukan dan penghormatan terhadap peraturan memang mempunyai tempat dalam kehidupan universiti. Orientasi juga tidak perlu menjadi program yang terlalu selesa sehingga kehilangan unsur cabaran, keseronokan dan pembinaan karakter.
Namun, mengiktiraf nilai-nilai tersebut tidak bermakna kita perlu menerima semua amalan yang diwariskan atas nama tradisi.
Kita perlu berani membezakan antara ketegasan dengan intimidasi, disiplin dengan ketakutan, cabaran dengan bahaya yang tidak perlu, kepatuhan kepada peraturan dengan kepatuhan membuta tuli, dan pembinaan jati diri dengan penghinaan terhadap maruah seseorang.
Mahasiswa tidak sepatutnya berada dalam keadaan di mana mereka merasakan bahawa mereka terpaksa akur terhadap segala arahan tanpa ruang untuk mempersoalkan keselamatan sesuatu aktiviti, menyuarakan ketidakselesaan, mendapatkan bantuan atau menarik diri apabila terdapat risiko yang munasabah.
Kebebasan untuk berkata bahawa sesuatu keadaan tidak selamat bukanlah tanda kelemahan atau ketidakdisiplinan.
Malah, pendidikan tinggi seharusnya membentuk mahasiswa yang mampu berfikir secara kritis, membuat pertimbangan dan bersuara secara bertanggungjawab. Ia bukan sekadar individu yang belajar bahawa kepatuhan kepada autoriti sentiasa lebih penting daripada pertimbangan mereka sendiri.
Menyemak semula budaya orientasi juga bukan bermaksud memadamkan tradisi. Tradisi yang baik boleh dikekalkan, tradisi yang bermanfaat boleh diperkukuh, manakala amalan yang tidak lagi sesuai boleh diperbaharui. Tradisi sepatutnya berkembang bersama pengetahuan kita tentang keselamatan, kesihatan, pendidikan dan kesejahteraan mahasiswa.
Garis panduan nasional tanpa menyekat kreativiti
Oleh sebab terdapat perbezaan dari segi budaya dan pelaksanaan orientasi antara universiti, fakulti dan kolej kediaman, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) wajar mempertimbangkan satu garis panduan nasional mengenai orientasi mahasiswa.
Tujuannya bukan untuk menyeragamkan semua program sehingga universiti dan mahasiswa kehilangan kreativiti. Sebaliknya, garis panduan tersebut perlu memberikan takrif dan objektif orientasi yang jelas serta menetapkan standard minimum yang tidak boleh dikompromikan.
Ia boleh disertakan dengan senarai semak yang merangkumi penilaian risiko bagi aktiviti fizikal dan luar; protokol cuaca dan haba; waktu rehat dan tidur yang munasabah; kelengkapan keselamatan; akses kepada air, makanan dan rawatan; prosedur kecemasan; kompetensi penyelia; serta larangan terhadap hukuman fizikal, penghinaan dan intimidasi.
Satu prinsip tambahan perlu diperjelaskan: merit, kelayakan kolej kediaman atau akses kepada kemudahan universiti tidak sepatutnya digunakan sebagai instrumen untuk memaksa mahasiswa menyertai aktiviti yang tidak berkaitan secara munasabah dengan kriteria rasmi tersebut. Kriteria merit dan penempatan kolej perlu telus, boleh disemak dan tidak boleh dimanipulasi secara tidak formal sebagai ancaman terhadap mahasiswa.
Mahasiswa juga perlu mempunyai hak untuk menolak atau menarik diri daripada sesuatu aktiviti apabila terdapat alasan munasabah berkaitan keselamatan, kesihatan atau kesejahteraan tanpa takut dikenakan hukuman, kehilangan merit atau tindakan balas sosial yang diselaraskan.
Prinsipnya mudah, iaitu kreativiti boleh berbeza, tetapi keselamatan, maruah dan kebebasan daripada paksaan tidak boleh dirundingkan.
Daripada pelaporan selepas kejadian kepada intervensi awal
Bukan setiap insiden atau penyalahgunaan dalam orientasi akan mendapat perhatian umum. Kita sering mengetahui sesuatu masalah hanya apabila ia menjadi tular, mengakibatkan kecederaan serius atau berakhir dengan tragedi.
Di sebaliknya mungkin terdapat pengalaman intimidasi, penghinaan, tekanan psikologi, kecederaan ringan, kekurangan tidur yang keterlaluan, ancaman kehilangan merit, pemulauan sosial atau aktiviti berisiko yang tidak pernah dilaporkan dan akhirnya dianggap sebagai sesuatu yang “biasa”.
Sebab itulah penambahbaikan tidak seharusnya hanya berlaku selepas tragedi.
Universiti memerlukan saluran pelaporan yang bebas, selamat dan mudah dicapai, termasuk mekanisme Sistem Amaran Awal dan Respon Awal (EWERS). Aduan dan tanda awal mengenai ugutan, buli, aktiviti tidak selamat, kecederaan, tekanan psikologi, manipulasi merit, pemulauan atau penyalahgunaan kuasa perlu menjadi pencetus kepada intervensi sebelum keadaan menjadi lebih serius.
Mahasiswa yang membuat laporan juga perlu dilindungi daripada tindakan balas, tekanan rakan sebaya atau ancaman terhadap kedudukan mereka dalam kolej, persatuan atau komuniti mahasiswa.
Setiap insiden, aduan dan pengalaman mahasiswa seharusnya menjadi peluang untuk menilai semula program dan melakukan penyesuaian yang diperlukan. Pencegahan tidak bermula selepas tragedi; ia bermula apabila kita bersedia mengambil serius tanda-tanda awal sebelum tragedi berlaku.
Jadikan orientasi kenangan, bukan trauma
Komentar ini mungkin tidak menyenangkan semua pihak dan mungkin bercanggah dengan sebahagian kefahaman tradisional tentang bagaimana disiplin, jati diri dan daya tahan perlu dibentuk. Namun, perbincangan ini perlu diutarakan dan tindakan sewajarnya perlu diambil sekiranya kita benar-benar mahu mencegah insiden yang tidak diingini daripada berulang.
Pada akhirnya, hampir setiap bekas mahasiswa mempunyai cerita tentang minggu-minggu pertama mereka di universiti. Ada persahabatan yang bermula di situ, pengalaman pertama hidup berjauhan daripada keluarga, gelak ketawa bersama rakan baharu, cabaran yang berjaya ditempuhi dan kenangan yang kekal bertahun-tahun selepas tamat pengajian.
Itulah kekuatan sebenar orientasi yang tidak patut kita hilangkan.
Justeru, kita perlu mengubah persoalan daripada:
“Adakah mahasiswa cukup tahan untuk melalui orientasi ini?”
kepada:
“Adakah orientasi ini cukup baik untuk membantu mahasiswa melalui kehidupan universiti?”
Orientasi yang berjaya bukanlah orientasi yang menghasilkan mahasiswa paling patuh atau paling tahan menerima tekanan. Orientasi yang berjaya ialah orientasi yang membuatkan mahasiswa keluar daripadanya dengan lebih memahami universiti, lebih mengenali rakan mereka, lebih bersedia menghadapi pengajian, lebih yakin mendapatkan bantuan, serta lebih selamat dan bangga menjadi sebahagian daripada komuniti tersebut.
Mengapa kita mahu membina jati diri dengan terlebih dahulu merendahkan jati diri mahasiswa? Mengapa kita mahu membina rasa kepunyaan melalui ancaman pemulauan? Dan mengapa kita mahu melahirkan mahasiswa yang berani dan berfikiran kritis melalui budaya yang mengajar mereka untuk patuh kerana takut?
Universiti seharusnya memperkasa mahasiswa, bukan meletakkan mereka dalam kedudukan rentan untuk dimanipulasi.
Marilah kita menjadikan orientasi sebuah platform yang meninggalkan kenangan bermakna, bukannya trauma yang terpaksa dipendam.
Mahasiswa tidak perlu dihina untuk belajar menghormati. Mereka tidak perlu ditakutkan untuk belajar berdisiplin. Mereka tidak perlu dibahayakan untuk membina daya tahan. Dan mereka tidak sepatutnya perlu memilih antara mempertahankan maruah dan keselamatan diri dengan peluang untuk terus menjadi sebahagian daripada komuniti kolej.
Semangat boleh dibina tanpa penghinaan. Disiplin boleh dibentuk tanpa ketakutan. Daya tahan boleh dipupuk tanpa membahayakan nyawa. Jati diri boleh dibina tanpa merendahkan jati diri orang lain.
Orientasi sepatutnya menjadi permulaan kepada rasa kepunyaan, bukannya permulaan kepada rasa takut terhadap kehidupan universiti.
Sudah tiba masanya kita menghentikan normalisasi budaya tidak sihat atas nama orientasi.
* Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis.