MAJLIS BELIA MALAYSIA

HBN disambut meriah: Belia Malaysia tekad bersama membangun Malaysia Madani

Karnival Sambutan Hari Belia Negara 2023 telahpun melabuhkan tirainya pada 28 Mei 2023 yang lalu, dengan penyertaan keseluruhan dianggarkan lebih 25,000 orang sepanjang penganjurannya.

Karnival Sambutan satu hari ini diadakan di Padang Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, Negeri Sembilan dengan penyempurnaan perasmian oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.

Hadir sama memeriahkan karnival sambutan HBN ini adalah YAB Dato Sri Haji Aminuddin Harun, Menteri Besar Negeri Sembilan, YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, dif-dif kenamaan dan wakil-wakil daripada pemegang taruh.

Mewakili belia Malaysia keseluruhannya, saya merakamkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri atas keyakinan dan kepercayaan yang beliau berikan kepada para belia, seterusnya menyokong usaha pembangunan belia dengan pengembalian peruntukan tahunan pentadbiran kepada pertubuhan belia, dengan mengumumkan sejumlah RM5 juta disalurkan menerusi Majlis Belia Malaysia (MBM).

Dalam perkembangan sama, YAB Perdana Menteri juga menjanjikan untuk meningkatkan lagi peruntukan berdasarkan pelaporan MBM tentang tiga aspek pembangunan belia yang beliau singgung iaitu perancangan strategik penambahan keanggotaan belia dalam persatuan belia; penyertaan sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam pertubuhan belia; dan perencanaan projek penghakupayaan ekonomi belia.

Kami yakin YAB Perdana Menteri yang merupakan Presiden MBM ke-6 tahu benar akan denyut nadi perjuangan gerakan belia di Malaysia.

Oleh sebab yang demikian, MBM menyatakan sikap kami menyokong penuh konsep Malaysia Madani yang diketengahkan oleh Kerajaan dan mengharapkan agar pelaksanaan Malaysia Madani ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan bukan hanya retorik semata-mata.

Malaysia yang kami inginkan ialah Malaysia yang berpaksikan kepada keadilan sosial di mana kemewahan dan kekayaan negara ini dikongsi bersama, manakala perpaduan antara agama dan kaum menjadi tonggak serta tiang seri kepada negara.

Malah, dalam ucapan saya semasa Majlis Perasmian Karnival Sambutan HBN yang lalu juga, telah ditegaskan bahawa MBM yang menginjak usia 75 tahun pada tahun ini, akan terus berperanan menjadi suara rakyat dan belia terbanyak. MBM akan terus menjadi suara dan hati nurani belia dan rakyat terbanyak (conscience of the majority), berpandukan idealisme perjuangan demi kebenaran dan keadilan.

Dalam masa yang sama, untuk melaksanakan tugas besar ini, maka Kerajaan harus juga mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh MBM dan badan-badan gabungan, dengan memberikan peruntukan dan sokongan dengan sebanyak-banyaknya.

Kami juga mengeru agar YAB Perdana Menteri memposisikan Kementerian Belia dan Sukan sebagai antara Kementerian terpenting dalam negara ini dengan peruntukan kepada Kementerian juga harus besar kerana tugas mendidik dan melatih generasi pewaris negara ini adalah terletak atas pundak dan bahu KBS.

Saya juga menegaskan lima permohonan dan tuntutan kami kepada YAB Perdana Menteri, mewakili suara anak muda Malaysia:

1) MBM mengulangi cadangan untuk kerajaan mewujudkan Akta Generasi Masa Hadapan sepertimana di Wales yang telah mewujudkan “Well-Being of Future Generation Act 2015”;

2) Mewujudkan dengan seberapa segera Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (APPGM) untuk Pembangunan Belia;

3) Menyokong cadangan pelaksanaan model gaji progresif dan mewujudkan insentif cukai kepada majikan yang melaksanakannya;

4) Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan dilaksanakan tidak lama lagi, menyeru semua parti politik untuk meletakkan sekurang-kurangnya 30% calon adalah terdiri dari mereka yang berumur 40 tahun dan ke bawah;

5) Bantuan pentadbiran kepada MBM dan seluruh badan gabungannya serta peruntukan program lebih besar untuk pembangunan belia secara keseluruhannya.

Menggerak Belia!.

MOHD IZZAT AFIFI HJ ABDUL HAMID

PRESIDEN

MAJLIS BELIA MALAYSIA

Bertarikh : 31 Mei 2023

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »