JAKARTA 25 Julai – Penolong Setiausaha Agung II Majlis Belia Malaysia (MBM), Muhammad Syahmi Shamsudin, telah mengadakan pertemuan silaturahmi ringkas bersama Sekretaris Jenderal DPP Angkatan Muda Pembaharuan Indonesia (AMPI), Arief Rosyid Hasan, di AMPI Media Center, Jakarta.
MBM turut merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Arief Rosyid Hasan atas pelantikan beliau sebagai Sekretaris Jenderal (Setiausaha Agung) DPP AMPI bagi baki penggal 2022–2027. Amanah baharu ini diyakini dapat memperkukuh peranan AMPI sebagai wadah kepemudaan dalam keluarga besar Partai Golkar, di samping memperluas jaringan kerjasama belia di peringkat serantau.
Meskipun berlangsung secara tidak formal, pertemuan ini menyentuh persoalan yang lebih besar daripada sekadar pertukaran program iaitu kedudukan generasi muda dalam mendepani perubahan geopolitik ASEAN.
Arief menegaskan bahawa pemuda Indonesia dan Malaysia perlu lebih aktif mengemukakan gagasan strategik, menjaga kestabilan serantau serta memperkukuh kedudukan ASEAN dalam dunia yang sedang mengalami perubahan kuasa.
MBM berpandangan bahawa kedua-dua negara berkongsi cabaran generasi yang hampir sama, termasuk transformasi digital, pekerjaan masa hadapan dan regenerasi kepimpinan. Hubungan belia Malaysia–Indonesia perlu diterjemahkan kepada kerjasama dasar, jaringan kepimpinan dan tindakan bersama yang lebih tersusun.
Silaturahmi ini turut memperkemas penganjuran program terdekat antara MBM-DPP AMPI Partai Golkar dalam masa terdekat
Hasil perbincangan ringkas ini turut menyebut garisan pewujudan “10 Youth Initiatives Towards Golden Generation Indonesia and Malaysia” sebagai peta jalan kerjasama dalam bidang kepimpinan, pendidikan, inovasi, ekonomi dan hubungan serantau.
Hubungan serumpun tidak cukup sekadar dikenang melalui sejarah. Ia mesti diteruskan melalui pekerjaan bersama.


