MAJLIS BELIA MALAYSIA

HBN di luar ibu kota penuhi permintaan belia – PM

TUARAN: Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2022 peringkat kebangsaan di padang pekan Tuaran, di sini, hari ini, julung kali diadakan di luar ibu kota.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyempurnakan majlis bertemakan ‘Ini Masa Kita’ itu, berkata sambutan dihadiri lebih 5,000 belia itu sebagai sesuatu yang menarik bagi memenuhi permintaan supaya HBN diadakan di luar kesibukan kota.

“Sambutan HBN peringkat kebangsaan tahun ini amat menarik kerana diadakan di luar ibu kota, kita memilih Tuaran, Sabah yang terkenal dengan kawasan peranginan dan destinasi pelancongan sebagai lokasi untuk meraikan belia Keluarga Malaysia.

“HBN 2022 diadakan di sini bagi memenuhi permintaan belia supaya sambutan HBN diadakan di luar kesibukan kota dan pemilihan Tuaran, Sabah dapat diterjemahkan dengan kehadiran yang ramai pada hari ini (semalam),” katanya.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin.

Ismail Sabri berkata, JBN adalah pengiktirafan kerajaan terhadap segala usaha dan kejayaan belia yang menjadi tunjang dalam pembangunan negara.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, ketika ini hampir 21.4 peratus atau tujuh juta daripada 32.7 juta rakyat Malaysia adalah belia berusia antara 15 hingga 30 tahun, manakala belia berumur 15 hingga 40 tahun mencecah hampir 15 juta orang.

“Sememangnya angka ini sangat signifikan, sekali gus mempengaruhi setiap perancangan pembangunan negara. Oleh itu, aspirasi dan pandangan belia adalah penting bagi kerajaan merangka hala tuju pada masa depan.

“Apa yang dirancang hari ini akan diwarisi belia Keluarga Malaysia generasi akan datang kerana ‘Belia pencetus revolusi masa depan negara’,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, sehingga 30 Jun lalu, sebanyak 9,766 pertubuhan belia didaftarkan mengikut Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Pindaan 2019), Akta 668.

Daripada jumlah itu, beliau berkata, 953 pertubuhan belia didaftarkan di Sabah dengan 33 daripadanya didaftarkan di Tuaran.

Artikel penuh :

https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2022/07/976857/hbn-di-luar-ibu-kota-penuhi-permintaan-belia-pm?fbclid=IwAR2AUBR-93LGEBcM7XA4o4PR-SoTh7_irKymqMpLECMzF00TUOgTDZ-ZULw

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »