KUALA LUMPUR, 14 April – Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 yang mengangkat tema “Menggerak Belia” dilihat sebagai platform penting dalam memperkukuh peranan golongan muda sebagai penggerak utama pembangunan negara.
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, tema tersebut mencerminkan komitmen kerajaan untuk bukan sahaja menyediakan ruang kepada belia, malah menggerakkan keseluruhan generasi muda agar menjadi agen perubahan yang aktif dan berdaya saing.
“Kita bukan sahaja menyediakan belia, tetapi kita ingin menggerak seluruh belia negara untuk sama-sama menghasilkan satu aspirasi yang baik untuk negara kita,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pra Peluncuran HBN 2026 di Perbadanan Stadium Malaysia, hari ini.
Menurut beliau, sambutan HBN yang mula diperkenalkan sejak 1964 bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya menjadi platform strategik untuk membangunkan ekosistem belia secara menyeluruh.
“Generasi muda merupakan aset penting negara dan kita perlu melengkapkan mereka dengan jati diri, ilmu dan adab untuk membentuk masa depan yang lebih baik,” katanya.
Tambahnya, tema “Menggerak Belia” turut membawa mesej bahawa suara anak muda perlu diberi perhatian dalam proses membuat dasar negara.
“Pandangan dan aspirasi belia amat penting untuk kita membangunkan sebuah negara yang maju dan dipandang di persada dunia,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan akan terus memperluas ruang penyertaan belia melalui pelbagai inisiatif termasuk pendekatan Rakan Demokrasi di bawah program Gaya Hidup Rakan Muda sepanjang bulan Mei.
Mengulas lanjut, Dr Mohammed Taufiq berkata perpaduan dalam kalangan belia perlu menjadi asas utama dalam pembentukan negara yang stabil dan harmoni.
Sebagai persediaan menjelang sambutan itu, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk Kembara Jalur HBN 2026 serta Inisiatif Sokongan Suara Belia yang digerakkan bersama Majlis Belia Malaysia dan agensi di peringkat negeri serta daerah.
Kemuncak sambutan HBN 2026 peringkat kebangsaan akan berlangsung di X Park, Sendayan, Negeri Sembilan dari 15 hingga 17 Mei ini, dengan majlis perasmian dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dr Mohammed Taufiq turut memaklumkan sasaran penyertaan seramai 4.5 juta belia di seluruh negara, dengan penekanan bukan sekadar kehadiran, tetapi penglibatan aktif yang mampu melahirkan generasi pemimpin masa depan.
Artikel penuh :