KUANTAN 15 Jun – Melihat kepada keadaan dirinya sudah tentu ramai yang akan beranggapan Mohammad Muslim Roslan, 23, tidak akan mampu melaksanakan sebarang bentuk pekerjaan kerana belia yang berasal dari Felda Bukit Sagu 2 di sini itu dilahirkan dalam keadaan cacat tanpa kedua-dua belah tangan dan kaki.
Biarpun tidak sempurna, Mohammad Muslim sedikit pun tidak merasakan kekurangan dirinya itu sebagai penghalang untuknya turut berjaya dalam hidup sebagaimana manusia normal lain.
Sebaliknya remaja orang kurang upaya (OKU) itu menanam cita-cita yang begitu tinggi untuk menjadi seorang penternak kambing berjaya biarpun dengan keadaan fizikal yang sebegitu.
Namun, hasratnya itu terpaksa dilupakan buat sementara waktu kerana keluarganya tidak dapat membantu akibat kesempitan hidup.
Bagaimanapun baru-baru ini, Mohammad Muslim menjadi orang yang paling gembira apabila hasrat dan cita-citanya itu direalisasikan melalui usaha Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dengan kerjasama Kelab Generasi Transformasi Ruminan Malaysia (GTR) yang membina kandang dan menyumbangkan 10 ekor kambing kepadanya.
Menurutnya, dia begitu berminat menceburi bidang penternakan sejak sekian lama tetapi kerana tiada kemampuan dari segi kewangan, hasrat untuk memperbaiki kehidupannya walaupun dilahirkan OKU terpaksa dilupakannya.
“Tetapi hari ini saya tak sangka ada pihak yang sudi memberikan sumbangan kambing malah turut membina kandang bagi saya mengusahakan cita-cita saya sejak dari kecil ini.
“Saya pasti akan mengusahakannya bersungguh-sungguh dengan bantuan keluarga dan berjanji akan meluaskan ternakan kambing ini sehingga saya menjadi seorang penternak berjaya,” katanya ditemui pemberita selepas Program Jalinan Kasih MBFM bersama GTR di rumahnya di Felda Bukit Sagu 2 di sini kelmarin.
Yang turut hadir, Presiden MBFM, Anuar Abdul Manap; Pengerusi GTR, Datuk Asmawi Kassim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Mohamad Shohaimi Md. Shah dan Pengarah Veterinar negeri, Datuk Safaruddin Dawam.
Sementara itu, Anuar berkata, sumbangan itu bertujuan membantu Mohamad Muslim merealisasikan cita-citanya serta bagi memberikan suntikan semangat kepada belia Felda lain untuk menceburkan diri dalam bidang penternakan.
“Ini merupakan projek amal kedua MBFM dan GTR di mana projek pertama dilakukan pada bulan Mei lalu dengan membina sebuah rumah untuk seorang wanita di Felda Pemanis 2, Segamat, Johor,” katanya.
Asmawi pula berkata, GTR telah mengadakan kutipan wang dari kalangan ahlinya untuk membina kandang kambing itu yang dibina secara gotong-royong.
“Kita menyumbangkan sembilan ekor kambing betina baka tempatan dan seekor kambing jantan sebagai permulaan, seterusnya ahli-ahli GTR di sekitar Kuantan akan datang memantau dan memberi tunjuk ajar kepada Mohammad Muslim mengenai cara penjagaan kambing,” katanya.
Selain sumbangan kandang dan kambing, remaja OKU berkenaan turut menerima sebuah mesin bagi mengisar makanan haiwan ternakannya itu yang disumbangkan oleh Jabatan Veterinar negeri.
© Utusan Melayu (M) Bhd