KUALA LUMPUR 25 Ogos – Program Inspirasi Wanita adalah salah satu program yang dianjurkan bagi memberi ruang dan peluang kepada kaum wanita bagi meraikan hari Wanita kebangsaan 2019 sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan wanita dalam melahirkan insan yang berjaya dan menjadi tulang belakang kepada negara.
Program ini berlangsung dengan jayanya bertempat di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka dan mendapat sambutan yang baik dari kaum wanita di Malaysia. Penganjuran ini adalah hasil usahasama Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Belia Malaysia serta Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (KASIH Malaysia).
Selain itu juga program ini telah memberi manfaat kepada ramai kaum wanita khususnya rakyat malaysia dalam beberapa ruang yang disediakan antaranya laman kerjaya sebagai satu ruang untuk mencari kerja dan laman usahawan wanita yang merupakan tempat bagi mereka untuk memperkenal produk daripada penghasilan mereka sendiri kepada orang ramai serta sesi bengkel yang memberikan latihan dan kefahaman yang terbaik.
Program ini juga berlangsung dengan adanya Konvensyen Hari Inspirasi wanita sempena Sambutan Hari Wanita kebangsaan 2019 yang disempurnakan oleh Prof Dato’ Dr. Mohamed Hatta Shaharom, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Naib Presiden MBM, Sdri. Nurul-Huda Mohamed Afandi dalam ucapan aluannya berharap inisiatif penganjuran program ini mampu menjadi nilai tambah yang positif kepada golongan wanita seterusnya membina kapasiti belia wanita dalam agenda pembangunan negara.
Penutupan karnival Inspirasi Wanita telah disempurnakan oleh YABhg. Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali, Presiden Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-isteri Harapan Malaysia (KASIH) dan Tun Dr Siti Hasmah dalam ucapannya memuji dan mengucapkan tahniah kepada penganjur atas inisiatif mengangkat martabat wanita. Hadir sama Dr. Hamidah Mat, Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-isteri Harapan (KASIH), Dr. Zurinnah Shariff, Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan Belia, Jabatan Belia dan Sukan Negara Turut hadir Jufitri Joha Presiden Majlis Belia Malaysia serta kepemimpinan MBM terdiri daripada Exco, Dewan Tertinggi dan Ahli gabungannya, wakil agensi dan kementerian, penaja-penaja, sukarelawan dan wakil NGO wanita.