PORT DICKSON 28 Mei – Terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan khususnya YB Menteri atas kepercayaan kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) mengelola Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2023 bertemakan ‘Ini Masa Kita’ bersama Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) yang berlangsung meriah di Padang Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson.
Sambutan ini dijayakan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan dan Majlis Belia Negeri Sembilan sebagai tuan rumah dihadiri lebih 25,000 belia dari seluruh negara.
Kemuncak kepada sambutan ini adalah kehadiran Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang merasmikan HBN2023.
HBN merupakan pengiktirafan tertinggi kerajaan dan negara kepada golongan belia atas sumbangan yang diberikan dalam pembangunan negara.
HBN kali ini juga merakamkan sejarahnya tersendiri apabila mantan Presiden MBM ke-6, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berucap di pentas utama sebagai Perdana Menteri.
Sambutan HBN 2023 pada kali ini berkonsepkan festival santai dengan menfokuskan kepada himpunan komuniti belia. Terdapat enam segmen aktiviti yang akan dilaksanakan sempena sambutan pada kali ini iaitu Himpunan Komuniti, Bengkel Kemahiran, Pameran dan Usahawan, Persembahan dan Perkongsian, Pertandingan E-sport dan Perkhemahan Sukarelawan.
Dalam ucapan perasmian, Perdana Menteri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 Juta kepada MBM bagi membantu menampung kos operasi dan aktiviti yang diperlukan. Pengumuman ini merupakan langkah positif kearah hubungan yang lebih erat antara MBM dengan Kerajaan Perpaduan dalam membangunkan negara.
Perdana Menteri turut melancarkan Model Pembangunan Belia Madani 2030 (MPBM2030) yang menjadi pelengkap kepada Dasar Belia Malaysia dan selari dengan dasar nasional terkini.
Perdana Menteri yang teruja dengan kehadiran anak muda turut meluangkan masa bersalaman dan menyantuni golongan belia dari pelbagai kelompok dan bangsa.
Hadir sama YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin Haji Harun; Menteri Besar Negeri Sembilan, YB Hannah Yeoh; Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli Abd Halim; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Sdr. Mohd Izzat Afifi Abd Hamid, Presiden MBM; YB Datuk Johari Abdul Ghani, Speaker Dewan Rakyat; YB Dr Zaliha Mustafa, Menteri Kesihatan Malaysia; Exco-Exco Kerajaan Negeri; Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri; Pengurusan kanan KBS dan pimpinan belia.

























































































































































