JOHOR BAHRU 15 Ogos – Majlis Belia Malaysia (MBM) mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, YAB Tan Sri Haji Muhyiddin Mohd Yassin atas dokongan kepada golongan belia dalam mencorak masa depan negara.
Malah Perdana Menteri turut mengumumkan persetujuan penubuhan pasukan penasihat khas anak muda bertujuan menasihati beliau, memberi idea dan bersama-sama kerajaan membangunkan belia dan negara.
Selain itu, Perdana Menteri juga memaklumkan akan melantik wakil belia untuk diangkat sebagai senator di Dewan Negara.
Pada sambutan tersebut yang berlangsung di Persada Johor itu, Perdana Menteri turut menyampaikan anugerah kepada pemenang-pemenang Anugerah Perdana Belia Negara (APBN)melalui kategori Individu Lelaki dan Wanita, Persatuan Belia dan Anugerah Khas.
Naib Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Abd Hamid dan Exco MBM Sdri. Nurliana Mohamad telah umumkan sebagai pemenang APBN kategori Individu Lelaki dan Wanita tahun 2020 yang membawa pulang hadiah RM20,000 beserta trofi.
Hadir sama pada majlis tersebut Menteri Belia dan Sukan, YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Besar Johor Dato’ Ir Hasni Mohammad, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan beberapa menteri kabinet.