Malaysia sedang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun 2020. Di antara tempoh tersebut, rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam akan
menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam suasana norma baharu. Begitu juga dengan perayaan lain
iaitu Pesta Kaamatan di Sabah dan Hari Gawai di Sarawak. Namun, dapat kita lihat setiap kali
menjelangnya perayaan utama di negara kita, secara ‘automatiknya’ harga barang keperluan akan naik. Terbaru yang sedang diviralkan adalah kenaikan harga ayam menjelang Aidilfitrì. Secara perbandingan, harga ayam sebelum pandemik Covid19 adalah sekitar RM5.50-RM7.00 sekilogram.
Pada awal perlaksanaan PKP, harga ayam jatuh sehingga RM4 sekilogram kerana kurangnya
permintaan terutama dari sektor pendidikan dan pengilangan. Namun, menjelang perayaan
Aidilfitri ini, harga ayam naik mendadak kepada sekitar RM8 – RM9.50 sekilogram. Alasan utama yang diberikan peniaga adalah harga kos daripada pembekal juga naik tinggi.
Pada awal perlaksanaan PKP sekitar hujung Mac yang lalu, kerajaan melalui KPDNHEP telah
mengumumkan bahawa ayam adalah termasuk dalam barang yang dipantau dan dikawal
harganya. Malah baru-baru ini, Timbalan Menteri KPDNHEP telah memberikan respon balas
terhadap keluh kesah rakyat yang mahu memboikot membeli ayam. Manakala YB Menteri
KPDNHEP telah mengumumkan harga siling bagi ayam pada harga RM7.50 sekilogram bermula 20 Mei.
Dalam hal ini, Majlis Belia Malaysia (MBM) menyarankan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) agar menetapkan juga harga siling dari pembekal ayam kepada peniaga ; serta melaksanakan penguatkuasaan secara agresif dan terancang kepada premis perniagaan yang mengambil kesempatan mengaut keuntungan berganda. Ya, kita memahami adanya permintaan yang tinggi terhadap ayam menjelang sambutan perayaan, namun para pembekal dan peniaga ayam wajar mewujudkan situasi ‘sama-sama untung’ dengan pengguna iaitu rakyat.
Peranan rakyat selaku pengguna pula adalah dengan membuat pilihan yang bijak. Memilih
pasaraya atau kedai yang menawarkan ayam segar dengan nilai di bawah harga siling yang
ditetapkan. Jangan sesekali berkompromi membeli ayam pada harga yang lebih tinggi dari harga siling. Sekiranya harga yang ditawarkan melebihi harga siling, segera laporkan kepada KPDNHEP untuk tindakan pemeriksaan harga kepada premis tersebut. Aduan ini perlu dibuat bagi ‘memutuskan rantaian’ pembekal yang menekan peniaga dengan meletakkan harga yang tinggi.
Aduan ini juga boleh dibuat bagi semua kenaikan harga barang kawalan lain. Jika tindakan aduan ini dilaksanakan oleh seluruh masyarakat kita, MBM yakin pengguna mampu mengawal kenaikan apa jua barangan dan perkhidmatan.
AHMAD SHAH MOHAMAD SALLEH
TIMBALAN PENGERUSI JAWATANKUASA
PERPADUAN, INTEGRASI NASIONAL DAN
KEPENGGUNAAN
MAJLIS BELIA MALAYSIA
Bertarikh : 20 Mei 2020