KUALA LUMPUR 12 Sep – Chery Malaysia dan Majlis Belia Malaysia (MBM) secara rasmi telah mengadakan Majlis Pelancaran dan Pelepasan program Jelajah Reach Out MBD & Community sempena pembukaan Majlis Perundingan Belia Negara 2024 (MPBN).
Majlis pelepasan disempurnakan oleh YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan yang berlangsung di Pusat Belia Antarabangsa di sini.
Turut sama YB Adam Adli Abdul Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan; Presiden MBM, Sdr. Mohd Izzat Afifi Hj Abdul Hamid dan wakil Chery Malaysia, Tuan Chen Gang, Naib Presiden Eksekutif dan Puan Celeste Lim, Pengarah Pemasaran.
Program Reach Out MBD & Community menampilkan penglibatan belia dari seluruh negara, bertujuan memperkasakan komuniti melalui pelbagai aktiviti termasuk perkongsian inspirasi daripada ikon belia, aktiviti kemasyarakatan serta program santai seperti ‘Cucur & Kopi’.
Lebih 30 MBD di semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak akan singgahi bermula dengan destinasi pertama di Pantai Timur pada 13 September 2024.
Sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif ini, Chery Malaysia telah menyumbangkan secara pinjaman enam unit SUV TIGGO 7 & 8 Pro untuk kegunaan konvoi MBM yang bakal menjelajah seluruh Malaysia untuk menyantuni pelbagai kelompok belia di akar umbi.
Tajaan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Chery, yang komited dalam memacu perubahan positif dalam kalangan belia dan masyarakat.
Terima kasih juga kepada Projek Belia Mahir kerana turut bersama sebagai rakan strategik rasmi dalam menjadi penghubung utama dalam usaha merealisasikan tajaan rasmi ini.
Reach Out MBD & Community berlangsung dari 13 September hingga 9 November 2024 dengan sasaran penyertaan seramai 5,000 orang belia dari seluruh negara.