MAJLIS BELIA MALAYSIA

Golongan muda diajak berbincang dengan kerajaan – Muhyiddin

Kuala Lumpur, 15 Mei 2012 – YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin mengajak golongan muda supaya duduk semeja berbincang dengan kerajaan dalam menyampaikan “suara hati” mereka.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, cara itu lebih praktikal berbanding menyertai demostrasi jalanan yang tidak mendatangkan kebaikan malah tidak akan menyelesaikan apa jua masalah.

“Tak payah berdemostrasi. Tak payah himpun sana sini yang tidak akan menyelesaikan apa-apa masalah. Duduk berbincanglah secara baik. Kita sudah tubuh Parlimen Belia yang membolehkan anak-anak muda terlibat sebagai pemain dalam menggubal dasar.

“Generasi muda pemimpin masa depan. Dalam usaha itu, kerajaan mahu mengajak generasi muda berbincang. Kita mahu dengar apa kehendak mereka kerana kita tahu generasi muda masa kini adalah generasi yang bijak.

“Ini sejajar dengan kenyataan YAB Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Najib Tun Razak bahawa kerajaan tahu segala-galanya sudah berlalu. Sebab itu kita mahu dengar suara generasi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan sambutan Hari Belia Negara 2012 di Sunway Pyramid, Petaling Jaya, dekat sini hari ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Dato Seri Ahmad Shabery Cheek, Presiden MBM, Sdr. Mohamed Maliki Mohamed Rapiee, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, DAtuk Seri Dr. Maximus Ongkili.

Muhyiddin berkata, dengan alat-alat atau gajet teknologi terkini yang “rapat” dengan anak muda, ia menjadikan mereka lebih bijak dan berpengetahuan luas serta mampu menguasai maklumat.

Atas sebab itu, katanya, generasi muda perlu bersuara dan bersama dalam menjayakan dasar-dasar negara.

Ujarnya, Malaysia mempunyai jumlah golongan muda dan belia melebihi sepertiga penduduk negara iaitu 12.5 juta orang.

“Dengan jumlah ini, ia menjadikan golongan muda sebagai sumber kekuatan negara.

“Lebih-lebih lagi dalam keadaan di mana masa depan negara kita akan ditentukan oleh sumber manusia yang ada, maka peranan dan sumbangan mereka kepada negara menjadi lebih penting,” jelasnya.

Mengenai sambutan Hari Belia kali ini, katanya, ia akan mencipta sejarah apabila acara kemuncak pada 23 hingga 27 Mei ini akan menyaksikan berjuta belia berhimpun di Putrajaya.

Pada hari ini juga, para belia turut meraikan ulang tahun kelahiran Timbalan Perdana Menteri.

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »