MAJLIS BELIA MALAYSIA

Golongan Belia Mampu Mentransformasikan Media Sosial Sebagai Medan Penyaluran Maklumat Yang Sahih

Golongan X,Y dan Z merupakan golongan lebih ramai terdedah kepada “social media culture shock” sehingga melupakan serta mengabaikan tanggungjawab sebagai individu yang boleh berperanan menjaga keamanan dan serta ketenteraman negara bagi mengekalkan perpaduan di negara ini.

Media sosial mentransformasikan dunia komunikasi sehingga ada pengguna yang mengalami kejutan. Bukan sedikit yang terjebak dalam amalan yang tidak beretika, tidak beradab dan tidak bertanggungjawab. Media sosial atau lebih dikenali sebagai media baru menjadi senjata yang digunakan sewenang-wenangnya oleh sesetengah individu. Ini medan yang sering disalahgunakan oleh sebahagian pengguna media sosial. Mereka tidak pedulikan etika dan nilai.

Media sosial merupakan medium perantaraan  paling berpengaruh  dari segi keberkesanan dalam menyebarkan maklumat.  Penyebaran maklumat atau sinonimnya disebut “virality” bermaksud berkongsi apa jua maklumat yang berupa video, berita dan imej secara pantas melalui internet.

Media sosial adalah bagai samurai yang bermata dua atau serampang dua mata; ia boleh membawa kebaikan jika digunakan dengan bijaksana, tetapi boleh menghancurkan diri, masyarakat dan negara jika disalahgunakan. Bagi sebahagian besar golongan muda, tiada hari tanpa media sosial kerana aplikasinya yang canggih dan menyeronokkan. Perkara ini juga dapat dikaitkan dengan masalah mental dan sosial dikalangan anak muda di negara ini.

Ketagihan anak muda dalam pengunaan media sosial secara ketara membawa kepada kemerosotan nilai akhlak dan perwatakan sebenar belia yang proaktif.

Covid – 19 Vs Maklumat Kurang Tepat Atau Maklumat Palsu

Penularan berita palsu bukan fenomena baharu, tetapi kesannya dapat dilihat lebih jelas pada era COVID-19. Ketika masyarakat dunia berusaha menangani cabaran itu dan bakal menghadapi kemelesetan ekonomi, kita juga terpaksa berdepan dengan ‘pandemik’ baharu, iaitu penularan berita palsu dan maklumat tidak tepat.

Sejak awal wabak COVID-19 lagi, kita telah berdepan dengan cabaran memerangi virus dan “viral”. Virus yang kita hadapi adalah virus SARS-CoV-2 yang menyebabkan jangkitan COVID19, manakala isu “viral” yang dimaksudkan pula adalah penularan berita palsu serta maklumat yang tidak sahih yang merebak dalam masyarakat secara lebih pantas daripada penularan virus COVID-19 itu sendiri.

Hakikatnya, semua itu membayangkan betapa ada pengguna media sosial yang menulis tanpa banyak berfikir, tetapi dikuasai emosi. Mereka bukannya tidak berakal, tetapi mereka berakal singkat.

Bagi golongan ini, yang penting, asalkan mereka puas walaupun kata-kata berkenaan begitu menyakitkan dan menghiris tajam hati pihak yang menjadi sasaran. Penyebaran berita dan maklumat palsu, khabar angin, dan gunjingan bukan lagi sesuatu yang aneh. Segelintir kakitangan kerajaan menyebarkan maklumat rahsia dan sensitif yang tidak sepatutnya didedahkan melalui media sosial.

Langkah yang diambil kerajaan untuk mengenakan tindakan tegas terhadap penjawat awam terbabit memang wajar bagi memastikan perbuatan sedemikian tidak berleluasa.

Kenyataan yang tidak berlapis dan dihamburkan sesuka hati  memberi kesan buruk kepada individu, masyarakat, organisasi dan negara. Ia mengelirukan dan membentuk persepsi negatif yang merugikan pihak yang menjadi sasaran. Bagi golongan ini, mereka semacam mendapat kepuasan daripada penderitaan dan kesengsaraan orang lain.  Mereka berlagak pandai dan seronok apabila komen mendapat perhatian atau menjadi viral.

Bagi pihak yang menjadi sasaran, ekoran daripada kritikan, fitnah dan cercaan, ada yang menderita kerana tidak sanggup berdepan dengan tekanan. Maruah dan harga diri terpukul teruk. Golongan terbabit perlu sedar bahawa perbuatan sedemikian bukan sahaja melanggar akta, tetapi juga pebuatan tidak beretika dan bertentangan dengan agama.

Justeru, mereka perlu bijak dan bertanggungjawab ketika memberi komen dan pendapat. Segala wacana yang dikemukakan perlu berdasarkan logik dalil dan kewarasan fikiran, bukannya berdasarkan emosi dan keseronokan untuk menjahanamkan orang lain.

Sikap menghormati individu dan kaum lain perlu diamalkan di negara pelbagai etnik dan agama. Pengguna media sosial perlu sensitif dengan tidak melontarkan komen negatif, sensasi, provokatif dan sensitif.

Dengan perkembangan yang berlaku dalam setahun dua ini terutamanya, maka langkah Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk meminda dan merombak undang-undang berkaitan dengan media sosial, perlu diberi sokongan.

VIRALITY MAMPU MENGUGAT KETENTERAMAN AWAM

Viral di laman sosial ini jika tidak diurus dan dipantau dengan baik akan mendatangkan satu suasana yang sangat bahaya. Antaranya penyebaran maklumat palsu, penyebaran fitnah dan  keinginan untuk membuka aib orang lain di media sosial berleluasa.

Bagi golongan ini, yang penting, asalkan mereka puas walaupun kata-kata berkenaan begitu menyakitkan dan menghiris tajam hati pihak yang menjadi sasaran. Penyebaran berita dan maklumat palsu, khabar angin, dan gunjingan bukan lagi sesuatu yang aneh. Segelintir kakitangan kerajaan menyebarkan maklumat rahsia dan sensitif yang tidak sepatutnya didedahkan melalui media sosial.

Pun begitu, ada segelintir individu yang memang suka menyebarkan maklumat, berita, cerita dan video-video yang tidak baik, malah apa sahaja yang dilihatnya di media sosial pantas  sahaja jari-jemarinya itu menekan butang share tanpa usul periksa. Kadang-kadang perkara yang dikongsi itu tidak langsung ada kena-mengena dengannya.  Apabila diviralkan benda tidak elok sebegini maknanya dalam masa yang sama kita telah menunjukkan keburukan akhlak kita sendiri yang tidak baik. Itu pun kadang-kala kita tidak sedar.

Dalam menangani hal ini kita mengharapkan agar masyarakat khasnya pengikut laman sosial sewajarnya lebih rasional apabila berhadapan dengan beberapa isu dan maklumat yang belum tentu kesahihannya. Kita  perlu sentiasa diingatkan supaya sebelum berkongsi apa jua maklumat dengan rakan-rakan kita perlu tahu bahawa sumber tersebut diyakini kebenaran dan kesahihannya terlebih dahulu. Di sinilah peranan kita untuk terlebih dahulu merujuk sumber yang dinyatakan atau tunggu kenyataan rasmi sebelum menyebarkan sesuatu perkara. 

Oleh yang demikian, sama-samalah kita menjaga anggota kita ini untuk memulakan perkara yang baik. Janganlah kita menjadikan alam maya terutama di media sosial sebagai wakaf dosa. Sentiasalah berwaspada dengan perkara yang ingin dikongsikan dibimbangi perkara yang diviralkan itu boleh mengundang fitnah dan dosa yang berpanjangan.  Perjuangan kita dalam menangani masalah Covid 19 belum selesai lagi, Kita semua mempunyai tanggungjawab dalam membantu serta menyelesaikan masalah global ini hilang dari radar bumi. Serta melahirkan negara yang makmur dan selamat untuk semua.

Oleh: Sivanesan Tamil Selvam, Felo Majlis Belia Malaysia (MBM)

Tarikh: 31 Mei 2021

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »