MAJLIS BELIA MALAYSIA

Gila motorcross bawa Eyjan tubuhkan MMS

DEK minat mendalam dalam sukan motorcross, dia berusaha mengetengahkan aktiviti permotoran tersebut di negara ini dengan tertubuhnya, Malaysian Motocross Series (MMS).

Matlamat Norhanizan Onan, 43, atau lebih dikenali sebagai Eyjan MMS, bukan sekadar mahu berlumba, sebaliknya membawa terutama golongan anak muda ke arah sukan lasak berfaedah.

Pelumba diajar langkah dan cara keselamatan betul untuk berlumba dan menunggang. Sejak usahanya dimulakan pada 2012, kini lebih 150 penunggang terutamanya dari Lembah Klang menyertai latihan berkenaan di Litar Motorcross, Presint 4, Putrajaya.

Malahan beberapa nama pelumba kian ‘naik’ dalam sukan ini berjaya dilahirkan MMS antaranya seperti Daniel Haikal (kategori CKD), Arifudin Nordin (CKD), Achmad @Angah (novis) dan Mohamad Firdaus @ Mamat (expert & endurance). Mereka juga wakil jika ada perlumbaan di negara jiran.

Hasrat pemuda berasal dari Pagoh, Johor ini juga, tidak mahu melihat anak-anak muda hanya leka mengulit gajet dan melayan ‘rakan’ alam maya.

“Seperti di negara kita, anak-anak muda di Jepun juga lebih banyak bermain gajet. Bimbang dengan situasi itu, ibu bapa di sana juga lebih galakkan anak mereka sertai riadah lasak seperti motorcross.

“Lagipun jika tiada badan seperti kami, siapa hendak iktiraf rider kita, macam mana hendak kategorikan dia jika masuk perlumbaan luar negara seperti, junior, expert, novis. Kita juga berhasrat hendak mencari wakil pelumba motorcross dari Malaysia,” katanya.

Walaupun menghadapi kesukaran di peringkat awal penubuhannya, Eyjan teruja lampu hijau diberikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan sokongan badan terlibat seperti Majlis Belia Malaysia (MBM), MMS berjaya diwujudkan.

Mula di Jepun

Jika sejak zaman sekolah, anak ke-9 dari 10 beradik ini memang sudah minat dengan kenderaan berenjin, minatnya makin bertambah sejak mengenali top 3, figura sukan motocross, Eigo Sato semasa menyambung pelajaran di negara matahari terbit.

“Semasa belajar kejuruteraan mekanikal di Jepun, saya mengenali Eigo Sato yang juga junior di kolej saya ketika itu. Eigo sebelum itu mendalami motorcross dan freestyle di Amerika. Bila balik ke Jepun, dia kembangkan motorcross di Jepun pula hingga bergelar top 3 pelumba exfighter dunia.

“Malah menjadi penunggang Jepun pertama mampu membuat back flip. Dari situ minat saya berkobar untuk aktifkan sukan ini di negara kita pula,” katanya.

Eyjan pulang ke Malaysia selama empat tahun, sebelum kembali semula ke Jepun apabila mendapat tawaran kerja selama lapan tahun dalam bidang kejuruteraan di sana dari tahun 2001 hingga 2009.

Minatnya tidak terhenti, malahan selepas tamat kontrak di sana, sekembalinya dia di negara ini dia memulakan misi penubuhan MMS.

Disamping menjalankan perniagaan sendiri selain berkaitan automotif, Eyjan menumpukan 100 peratus tumpuan menaikkan sukan motorcross.

“Sambil bekerja, saya carilah juga rakan-rakan di MBM dan KBS. Saya akui memang tiada penaja pada peringkat awal, malah terus-terang saya katakan kosnya memang tinggi untuk mengadakan motorcross event.

“Cabaran terpaksa saya hadapi, event management mulanya nak bantu tapi akhirnya tak jadi, terpaksa buat sendiri. Kebetulan jumpa Presiden MMS Datuk Yusof A Bakar, beliau bantu event hingga sekarang, tambahan beliau suka motor dan orang sekampung,” katanya yang turut sentiasa disokong Pengurus Pasukan, Mohd Alidin dan Zahirulanam selaku mekanik pasukan.

Peluang diberikan KBS pada 2012, sempena sambutan Hari Belia Malaysia, semasa itu tugasnya mencari penunggang motorcross. Eyjan menjemput lima pelumba motorcross dan freestyle termasuk Eigo Sato membuat persembahan.

“Dari situ titik permulaan bagi MMS,” kata suami kepada Sahara Kumiko@Nur Farhani Kumiko Abdullah yang juga kakak kepada Eigo Sato ini.

Biarpun kini Eigo Sato sudah meninggal dunia semasa beraksi, minat itu diteruskan Eyjan.

MMS kini masih mengalu-alukan penaja utama untuk aktiviti MMS. Maklumat lanjut, lawati Facebook, Malaysia Freestyle Motorcross Xtreme.

Sumber : Sinar Harian

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »