MAJLIS BELIA MALAYSIA

GHOST SMOKE MAMPU MENJADI WABAK SOSIAL

Susulan daripada sebaran video dan pelbagai maklumat berkenaan sejenis ‘gula-gula ghost smoke yang membentuk asap’, Majlis Belia Malaysia (MBM) menyokong saranan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail agar penjualannya dihentikan segera.

MBM menzahirkan rasa bimbang melihatkan gejala ghost smoke ini berpotensi menjadi wabak di kalangan kanak-kanak dan remaja di negara ini. Kebimbangan ini berasas kerana MBM sendiri amat khuatir ia mampu mendorong mereka terus terjerumus dalam gejala sosial yang lebih besar. Bermula dengan gula-gula, berubah angin kepada rokok dan tidak mustahil kepada gam dan dadah.

Tambah membimbangkan, pemerhatian yang dilakukan secara rambang memperlihatkan produk gula-gula ghost smoke ini mudah didapati dan murah harganya. Pelajar sekolah boleh mendapatkannya di gerai-gerai jualan makanan ringan atau jajan di persekitaran luar sekolah atau membelinya di portal jualan atas talian. Dalam hal ini, MBM mengesyorkan pihak berkuasa dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) agar mula menggerakkan operasi pemantauan dalam memastikan penjualan gula-gula ghost smoke ini dihentikan serta-merta.

Dengan kadar perokok di kalangan pelajar sekolah yang tinggi iaitu 68,321 orang pelajar pada tahun 2018, MBM tidak mahu melihat jumlah ini terus meningkat pada tahun-tahun mendatang disebabkan oleh terdedahnya mereka kepada wabak ghost smoke ini.

JUFITRI JOHA

Presiden

Majlis Belia Malaysia

Bertarikh : 23 Julai 2019

LEBIH BERITA DISINI

BERITA

KENYATAAN AKHBAR

ANTARABANGSA

Translate »